PENDUDUK USJ membawa tong untuk mengisi air berikutan dengan gangguan bekalan air di kawasan Petaling, menerima bekalan air melalui lori tangki di Pusat Khidmat Setempat, USJ 4, Subang Jaya. FOTO Aziah Azmee
PENDUDUK USJ membawa tong untuk mengisi air berikutan dengan gangguan bekalan air di kawasan Petaling, menerima bekalan air melalui lori tangki di Pusat Khidmat Setempat, USJ 4, Subang Jaya. FOTO Aziah Azmee
Rafidah Mat Ruzki


JUMLAH pemilik akaun yang terjejas akibat hentitugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih susulan pencemaran sumber air sejak pagi Jumaat lalu meningkat kepada 336,930, hari ini.

Ia susulan LRA Bukit Tampoi yang juga menerima sumber air mentah dari Sungai Semenyih turut terpaksa dihentitugas pada 3.30 petang semalam.

Air Selangor dalam satu kenyataan hari ini berkata, sebanyak 366 kawasan kini terjejas ekoran hentitugas kedua-dua LRA berkenaan.

“Antara kawasan yang sedang mengalami gangguan berikutan penutupan LRA Bukit Tampoi adalah Kampung Bukit Changgang; Kampung Labohan Dagang; Kampung Olak Lempit; Kampung Orang Asli Bukit Bakong, Bukit Tampoi; Kampung Selangor Dredging; Kampung Sungai Manggis; Kilang ISF, Dengkil; Kompleks Perabit Olak Lempit; Pusat Serenti; RRM Bukit Changgang; Telok Datok; Taman Ambar; Taman Arked; Taman Changgang Jaya; Taman Seri Dagang; Taman Seri Manggis; Taman Seri Telok Datok dan Taman Topaz.

“Bantuan bekalan air kecemasan terus di pergiatkan dan lori-lori tangki digerakkan ke kawasan terjejas dengan keutamaan diberikan kepada pengguna dan premis kritikal serta kecemasan termasuk hospital. Selain daripada itu, 11 Pusat Khidmat Setempat (PKS) dan pili-pili awam masih meneruskan operasinya 24 jam,” katanya.

Kenyataan itu memaklumkan, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menjangkakan tempoh masa pemulihan gangguan bekalan itu akan mengambil sedikit masa.

Bagaimanapun, katanya, segala tindakan yang perlu sedang dilakukan bagi mempercepatkan proses pemulihan bekalan selepas loji kembali beroperasi termasuk menyediakan bantuan bagi mengurangkan kesulitan pengguna berikutan insiden berkenaan.

Pihaknya juga akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden itu dari masa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa.

“Sila rujuk aplikasi telefon bimbit Air Selangor, Facebook dan Instagram Air Selangor, atau laman sesawang kami www.airselangor.com untuk maklumat yang akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Disember 2019 @ 2:45 PM