MOHD Mohaimi sempat menjenguk sebentar isteri dan anak-anaknya di PPS SK Sri Rantau Panjang 2. FOTO Syaherah Mustafa
MOHD Mohaimi sempat menjenguk sebentar isteri dan anak-anaknya di PPS SK Sri Rantau Panjang 2. FOTO Syaherah Mustafa
Syaherah Mustafa


SIAPA sangka seorang anggota bomba di Rantau Panjang yang menjalankan tugas membantu mangsa banjir rupanya berperang dengan perasaan bimbang, apabila isteri dan anak-anak sendiri berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Tunjong Kota Bharu, Mohd Mohaimi Mohd, 31, tetap bersemangat demi tanggungjawab kepada masyarakat biarpun keluarganya sendiri terpaksa ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Rantau Panjang 2.

Katanya, rumah mereka yang terletak di Kampung Kedai Lama, di Rantau Panjang, dinaiki air separas dua meter (m) menyebabkan mereka berpindah menyelamatkan diri setiap kali banjir melanda.

“Isteri saya, Nurul Nazatul Ain Mah Hussin, 30, dan tiga anak kami berusia empat bulan sehingga tujuh tahun sudah empat hari bermalam di PPS. Malah, ketika banjir gelombang pertama juga saya terpaksa meninggalkan mereka di PPS ini kerana perlu menjalankan tugas.

“Tidak ramai yang tahu tentang hal ini kerana bagi saya ia adalah perkara biasa lagipun isteri dan anak-anak akur untuk ke PPS demi keselamatan diri manakala saya pula perlu menggalas tanggungjawab membantu masyarakat.

“Namun begitu, jauh di sudut hati berasa sedih memikirkan keadaan mereka dan saya sentiasa bertanya khabar selain memastikan komunikasi dan hubungan dengan isteri dalam keadaan baik,” katanya ketika ditemui di PPS SK Sri Rantau Panjang 2, semalam.

Dia yang berkhidmat di Unit Tindakan Khas Banjir Operasi Negeri Kelantan mengakui banyak cabaran dan rintangan perlu dihadapi ketika bencana banjir, namun segala urusan dipermudahkan hasil kecekapan dan kerjasama baik setiap anggota.

“Sepanjang beberapa tahun saya ditugaskan semasa banjir banyak pengalaman yang tidak dapat dilupakan termasuk peristiwa bot terbalik ketika membantu mangsa yang dihanyutkan arus deras banjir pada tahun 2006.

“Namun, ia sedikit pun tidak menggentarkan saya, malah berasa lebih bersemangat untuk membantu masyarakat. Kami sebagai anggota bomba sentiasa bersedia selain diterapkan untuk memiliki jiwa yang kental dalam apa situasi sekali pun.

“Selain memiliki isteri dan keluarga yang sentiasa faham dengan tugas yang saya pikul, saya juga berterima kasih kepada semua rakan sepasukan yang saling membantu dan menjadikan setiap urusan kami dipermudahkan,” katanya yang sudah 13 tahun berkhidmat sebagai anggota bomba.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Disember 2019 @ 11:42 AM