GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Fardy Bungga


KANAK-KANAK lelaki berusia tiga tahun meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri ketika mandi bersama rakannya di Sungai Pomotodon, Inanam, dekat Kota Kinabalu, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 1 tengah hari itu, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan lanjut di Hospital Queen Elizabeth II (HQEII).

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 1.22 tengah hari.

Katanya, sepasukan 10 anggota diketuai Ketua Balai, Agustavia Joe Guasi bergegas ke lokasi kejadian bersama sebuah jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS).

“Mangsa sudah diselamatkan orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba di lokasi kejadian.

“Anggota bomba kemudiannya memberi bantuan kecemasan (CPR) kepada mangsa sebelum dihantar ke HQEII menggunakan jentera EMRS,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Katanya, mangsa seorang kanak-kanak berusia tiga tahun disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di HQEII.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Disember 2019 @ 5:57 PM