CHONG. FOTO NSTP
CHONG. FOTO NSTP
BERNAMA

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyenaraikan 19 barangan bagi pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2019 berkuat kuasa dari 22 hingga 31 Disember ini.

Timbalan Menterinya, Chong Chieng Jen berkata, jenis barangan tahun ini meningkat berbanding 16 barangan sebelum ini, di samping skim itu akan dilaksana selama 10 hari membabitkan tiga hari sebelum perayaan, pada hari perayaan dan enam hari selepas perayaan berbanding lima hari tahun lalu.

Beliau berkata, skim berkenaan akan dilaksana di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Kementerian mengenal pasti pertambahan barangan membabitkan cili merah, kubis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk kubis Beijing) dan ubi kentang import (China).

“Kategori barangan harga terkawal terdiri daripada ayam, telur ayam, sayuran, daging kambing dan daging babi,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen di sini, semalam.

Penentuan harga maksimum pengeluar, borong dan runcit dibuat mengikut kewajaran dan kesesuaian bagi penguatkuasaan kawalan harga yang lebih berkesan untuk memastikan harga berpatutan bagi manfaat pengguna dan peniaga.

Barangan terbabit adalah ayam hidup, ayam standard (disembelih dan dibersihkan berserta kaki, kepala, hati dan hempedal atau mana-mana bahagiannya), ayam super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal), ayam tua hidup (harga maksimum di Sarawak sahaja), ayam Belanda import, kepak ayam (harga maksimum di Sabah, Sarawak & Labuan sahaja), daging kambing tempatan bertulang (harga maksimum di Semenanjung sahaja), daging kambing import bertulang atau biri-biri import bertulang, telur ayam gred A (berat antara 65.0 gram hingga 69.9 gram sebiji), telur ayam gred B (berat antara 60.0 gram hingga 64.9 gram sebiji) dan telur ayam gred C (berat antara 55.0 gram hingga 59.9 gram sebiji).

Dalam pada itu, beliau berkata, kementerian akan bertindak tegas terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan di bawah skim tersebut mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Pengguna boleh menyalurkan aduan kepada Kementerian ini melalui Portal [email protected], Call Centre 1800886800, emel [email protected], aplikasi telefon pintar Ez ADU, Enforcement Command Centre (ECC) 03-88826245/6088, talian 03-80008000 Malaysia Government Call Centre (MYGCC) Whatsapp ke 019- 2794317 atau melaporkan ke mana-mana 73 pejabat KPDNHEP di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Disember 2019 @ 6:00 AM