MOHD Azmer (tengah) dan Ahmad Naim (dua dari kiri) diringi anggota polis ke Mahkamah Sesyen Sepang, semalam.
MOHD Azmer (tengah) dan Ahmad Naim (dua dari kiri) diringi anggota polis ke Mahkamah Sesyen Sepang, semalam.


DUA rakyat Malaysia yang menganggotai kumpulan Daish dan kembali ke tanah air bulan lepas setelah diusir dari Syria dituduh di Mahkamah Sesyen di sini, semalam kerana ke luar negara dengan niat melakukan perbuatan pengganas.

Kedua-dua mereka Ahmad Naim Zaid, 34 dan Mohd Azmer Ramlan, 40 dituduh di dua Mahkamah Sesyen berasingan di hadapan dua orang hakim yang berbeza selang 15 minit.

Ahmad Naim dituduh dengan niat dari Malaysia pergi ke Syria bagi melakukan perbuatan pengganas pada 11 Mac 2015 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di hadapan hakim Tengku Shahrizam Tuan Lah.

Tengku Shahrizam menetapkan 20 Januari sebagai tarikh sebutan bagi menantikan laporan dari Jabatan Imigresen Malaysia, syarikat penerbangan dan penyata perbankan tertuduh.

Di sebuah lagi Mahkamah Sesyen di sini, Mohd Azmer dituduh melakukan perbuatan sama di tempat sama pada 3 Julai 2014 di hadapan hakim Saifulakmal Mohd Said. Sebutan bagi kes berkenaan ditetapkan pada 10 Jan bagi menantikan laporan yang sama. Pendakwaan bagi kedua-dua kes dilakukan oleh timbalan pendakwaraya Low Qin Hui.

Tiada pengakuan direkodkan dari kedua-duanya yang kelihatan tenang di dalam kandang tertuduh.

Kedua-dua mereka menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 130JA Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah peruntukan yang sama. Jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda.

Saifulakmal turut menolak permohonan jamin peguam Mohd Azmer, Hamdan Hamzah.

Ketika mengemukakan permohonan jamin tersebut Hamdan turut membacakan surat ditulis anak guamnya kepada bapanya di Malaysia pada awal tahun ini melalui International Committee of the Red Cross ketika dalam tahanan di Syria.

Dalam surat itu, Mohd Azmer menyatakan hasrat pulang ke Malaysia selain memberitahu dia sudah berkahwin dengan wanita Kurdish dan mempunyai seorang anak lelaki berusia 18 bulan. Isteri dan anaknya kini berada di kem pelarian Syria.

Difahamkan, kedua-dua mereka ditangkap sejurus tiba di KLIA pada 22 Nov oleh Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman di bawah Akta Kesalahan Keselamatan, Langkah-langkah Khas (Sosma) 2012.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Disember 2019 @ 7:00 AM