BOT nelayan ditahan APMM kerana melanggar syarat sah lesen di perairan pantai Yan. FOTO/IHSAN APMM
BOT nelayan ditahan APMM kerana melanggar syarat sah lesen di perairan pantai Yan. FOTO/IHSAN APMM
Oleh Zuliaty Zulkiffli


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah bot pukat tunda di perairan Pantai Yan semalam kerana melanggar syarat sah lesen.

Pengarah Zon APMM Kuala Kedah, Komander Maritim, Mahmad Faizal Ahmad berkata, bot itu ditahan pada kedudukan 13.2 batu nautika dari pantai berkenaan.

Beliau berkata, bot itu ditahan jam 12.45 pagi dan pihaknya menahan seorang tekong warga Thailand bersama tiga awak-awak juga warga Thailand di atas bot berkenaan.

Beliau berkata, semua yang ditahan berusia antara 37 hingga 58 tahun dipercayai melakukan kesalahan mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 atas kesalahan melanggar syarat sah lesen.

“Bot nelayan itu mempunyai 2,000 kilogram (kg) hasil tangkapan, kemudian dibawa ke Jeti Zon APMM Kuala Kedah untuk tindakan lanjut.

“Nilai rampasan ikan dianggarkan RM2,500,” katanya, semalam.

Mahmad Faizal menasihatkan pengusaha bot nelayan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang diperuntukkan.

Katanya, pihak APMM tidak berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang di perairan negara.

“Pihak APMM Zon Kuala Kedah mengalu-alukan aduan mengenai sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut.

“Ia boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi APMM Malaysia Zon uala Kedah di talian 04-7310579,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Disember 2019 @ 7:00 AM