FOTO Asyraf Hamzah
FOTO Asyraf Hamzah
Khuzama Ab Rahaman dan Farah Adibah Mohd Apandi

MASA berlalu begitu pantas sehingga tidak terasa kita sudah sampai ke penghujung 2019.

Setiap individu pasti merangka azam tahun baru ke arah hidup lebih baik di samping membuat perancangan teliti merangkumi kerjaya, pengurusan masa, pengurusan risiko, pengurusan kewangan tanpa melupakan perancangan menyelesaikan hutang dan memperbaiki kesilapan lalu.

Allah SWT berfirman di dalam Surah al-Asr, ayat 1 hingga 3 yang bermaksud: “Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang yang beriman dan beramal salih dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.”

Sebaiknya, kaji perkara yang perlu diperbaiki bagi menghadapi tahun baru terutama perancangan kewangan yang bakal mengubah corak dan gaya hidup.

Perancangan dan pengurusan kewangan bijak mesti merangkumi aspek perlindungan diri, keluarga dan harta.

Umum mengetahui, mengambil pelan perlindungan keluarga satu perkara asas dan perlu diberi keutamaan.

Bagaimanapun, masih ada segelintir masyarakat memandang remeh atau bertangguh untuk mendapatkannya.

Barangkali mereka merasakan akan sentiasa berada di dalam zon selesa (comfort zone).

Mereka tidak pernah berasa terdesak memerlukan bantuan kewangan, lalu merasakan keperluan dan kepentingan mengambil pelan takaful tidak penting.

Hidup ini penuh risiko yang tidak dijangka seperti kemalangan, hilang upaya atau kematian.

Malah, mungkin juga berhadapan risiko tiba-tiba menghidap penyakit kritikal yang memerlukan sumber kewangan besar untuk rawatan bersesuaian.

Sekiranya tiada persediaan kewangan dilakukan, ia akan menjadi bebanan kepada diri dan ahli keluarga.

Contoh, kos keseluruhan rawatan pembedahan pintasan jantung pada 2018 dianggarkan RM50,000.

Bagaimana caranya jika seseorang individu tiada pelan tabungan khas untuk perbelanjaan perubatan itu?

Adakah tabungan simpanan yang ada mencukupi?

Melainkan jika individu itu benar-benar berdisiplin membuat tabungan sejak awal, maka masalah kewangan itu dapat diatasi.

Seandainya seorang lelaki berumur 30 tahun dan sudah membuat simpanan RM417 sebulan dengan kadar pulangan akaun simpanan dua peratus, maka dengan kiraan mudah, dia memerlukan lebih kurang 10 tahun untuk mengumpulkan RM50,000.

Namun, dengan andaian sama, tetapi menerusi kaedah takaful RM50,000 itu akan tersedia sebaik penyertaan diluluskan pengendali Takaful.

Maka, secara praktikalnya, memiliki pelan perlindungan Takaful adalah pilihan yang bijak.

Setiap individu digalakkan membuat perancangan awal dengan mengambil pelan takaful seawal mungkin bagi mendapat kadar sumbangan lebih rendah.

Faktor umur memainkan peranan dalam mendapatkan bayaran sumbangan lebih rendah memandangkan semakin meningkat umur seseorang, semakin tinggi risiko mendapat penyakit yang memerlukan kos perubatan yang lebih tinggi.

Perancangan kewangan mesti merangkumi perlindungan Takaful, komitmen bulanan, bil, simpanan pelaburan, simpanan peribadi dan simpanan ketika kecemasan.

Pelan jangka panjang untuk keluarga juga perlu dibuat dengan teliti.

Perancangan kewangan yang bijak mestilah berdasarkan kepada beberapa faktor iaitu:

1. Kajian dan semakan semula pendapatan bulanan dan kos perbelanjaan setahun yang diguna pakai.

Kaji semula ke mana wang dihabiskan dalam setahun sama ada untuk memenuhi keperluan atau memenuhi kehendak.

2. Matlamat tahun baru.

Tetapkan matlamat tahun baru untuk fokus kepada kerjaya, pengisian masa bersama keluarga atau menyambung pelajaran.

3. Bertepatan dengan bajet sedia ada dan berbelanja dengan kadar minimum.

4. Pelan dan perancangan melunaskan hutang.

Ini paling penting kerana hutang sentiasa wajib dibayar.

5. Strategi tabungan kewangan setahun secara automatik agar simpanan lebih berdisiplin.

Kebiasaannya, permulaan tahun baru pastinya terdapat satu azam yang menjadikan seseorang itu menjadi insan yang lebih baik.

Peralihan tahun yang sentiasa bertambah seharusnya menjadikan seseorang itu lebih bijak membuat perbandingan untuk memilih pelan takaful yang terbaik.

Takaful Ikhlas Keluarga Berhad dan Takaful Ikhlas Am Berhad menyediakan pelan perlindungan Takaful berdasarkan prinsip syariah.

Ia menawarkan pelbagai ciri unik kepada pemegang sijil Takaful.

Tawaran perkhidmatan profesional bagi perlindungan diri, keluarga dan harta benda pula seiring dengan kadar caruman berbeza bersesuaian dengan pelan yang dipilih.

Justeru, buat perancangan kewangan sebaiknya sebelum tahun baru bermula.

Penulis dari Jabatan Syariah dan Perundingan Perniagaan, Takaful Ikhlas Keluarga Berhad

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Disember 2019 @ 12:05 PM