EMPAT lelaki Palauh yang ditahan Pasukan Polis Marin (PPM). FOTO Ihsan PPM.
EMPAT lelaki Palauh yang ditahan Pasukan Polis Marin (PPM). FOTO Ihsan PPM.
Abdul Rahemang Taiming


KECEKAPAN Unit Risikan Marin (URM) Pasukan Polis Marin (PPM), berjaya mematahkan kegiatan mengebom ikan oleh sekumpulan lelaki di perairan Bulipatuid, Semporna, semalam.

Empat lelaki itu termasuk juragan yang menaiki bot pam, dikesan anggota PPM dalam keadaan mencurigakan pada 2.30 petang.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, mereka berumur antara 23 hingga 40 tahun didapati tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

“Hasil pemeriksaan dalam bot pam itu menjumpai satu botol kaca mengandungi baja ammonia bersama sebatang peledak lengkap dengan sumbu dan kotak mancis.

“Semua peralatan itu dipercayai digunakan untuk menjalankan aktiviti pengeboman ikan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, semua suspek yang berasal dari Kampung Halo, Semporna dari suku Palauh kemudian ditahan dan dibawa ke Markas Operasi PPM Semporna untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8, Akta Bahan Letupan 1957 iaitu kesalahan membuat dan memiliki bahan letupan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Disember 2019 @ 8:48 AM