TUNKU Azizah mencuba sulaman ‘jahit benih’ dengan panduan tutor, Sarah Smith ketika lawatan baginda di RSN. FOTO Bernama
TUNKU Azizah mencuba sulaman ‘jahit benih’ dengan panduan tutor, Sarah Smith ketika lawatan baginda di RSN. FOTO Bernama
BERNAMA

RAJA Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan melawat The Royal School of Needlework (RSN) di Hampton Court Palace, semalam, iaitu sebuah pusat kecemerlangan antarabangsa untuk seni sulaman tangan.

Baginda meluangkan masa di pusat yang terletak kira-kira 18 kilometer daripada bandar London itu hampir dua jam, melihat pelbagai jenis hasil seni sulaman oleh pelajarnya dengan diiringi CEO RSN, Dr Susan Kay Williams.

Pusat itu menawarkan pelbagai kursus dari peringkat permulaan hingga ke peringkat lanjutan, manakala studionya menghasilkan tempahan khas dan menjalankan kerja pemulihan tekstil warisan bersejarah dan mengembalikan kegemilangannya.

Ketika lawatan itu, Raja Permaisuri Agong juga bermesra dan berkongsi pengetahuan baginda mengenai sulaman bersama pelajar, ketika melihat hasil kerja mereka, termasuklah bersama Francesca Lim Shu Xuen, seorang pelajar tahun akhir di pusat itu, yang berasal dari Malaysia.

Tunku Azizah kedengaran bertitah menyatakan baginda juga mempunyai kesemua buku-buku dan sebahagian daripada peralatan sulaman, seperti yang dimiliki pelajar.

Baginda yang dikenali dengan kerja-kerja memajukan warisan kraf dan seni tradisi Malaysia, juga mengambil kesempatan untuk belajar ‘jahit benih’, satu jahitan sulam silang yang digunakan sebagai latar belakang.

Tunku Azizah baru-baru ini menerima Anugerah Ikon Kraf 2019, daripada Majlis Kraf Dunia (WCC) dalam satu majlis di New Delhi, India.

Lim, 22, yang berasal dari Bandar Sri Damansara menyatakan rasa bangga beliau kerana dapat bertemu Raja Permaisuri Agong dan menunjukkan hasil kerjanya.

“Sekolah ini tempat terbaik bagi mempelajari seni sulaman dan saya berharap akan dapat bekerja dengan rumah fashion terkenal dunia, selepas saya menamatkan pelajaran,” katanya ketika ditemui pemberita.

Sementara itu baginda turut melawat Yayasan Queen Elizabeth untuk Orang Kurang Upaya (QEF) iaitu sebuah badan amal kebangsaan yang komited, menyediakan perkhidmatan mengubah kehidupan masyarakat, bagi membolehkan orang kurang upaya meningkatkan keupayaan dan mencapai matlamat hidup.

QEF membantu lebih 5,000 kanak-kanak dan orang dewasa dengan kecacatan fizikal atau pembelajaran atau kecederaan otak setiap tahun, dan membantu mereka memenuhi potensi dalam kehidupan.

Tunku Azizah dan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berada di London, untuk lawatan khas ke United Kingdom sehingga 16 Disember.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Disember 2019 @ 11:17 AM