ANGGOTA APM membantu mangsa berpindah ke PPS. FOTO Ihsan APM.
ANGGOTA APM membantu mangsa berpindah ke PPS. FOTO Ihsan APM.
Mohd Izham Unnip Abdullah


MANGSA banjir ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Beaufort dan Membakut meningkat kepada 377 orang membabitkan 136 keluarga setakat 8 pagi hari ini.

Peningkatan itu berbanding 268 orang membabitkan 97 keluarga setakat 5 petang semalam.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berkata, kebanyakan mangsa dari Membakut berikutan banjir yang masih belum surut sejak semalam.

Sehingga kini, 23 kawasan di Membakut terjejas berbanding 19 kawasan semalam, manakala di Beaufort, kekal empat kawasan iaitu Kampung Bakalau, Bakalau Simpang Empat, Binunuk dan Balibata.

Sebanyak 17 laluan di Membakut iaitu Jalan Kampung Bambangan, Jalan Kampung Sinoko, Jalan Kampung Pusak, Jalan Kampung Poring, Jalan Kampung Baitam, Baitam Laut dan Baitam Ulu, Jalan Kampung Jambatan Baru, Jalan Kampung Kayai, Jalan Kampung Baru dan Jalan Kampung Papas ditutup bagi sebarang kenderaan.

Turut sama, Jalan Pekan Lama Membakut, Jalan Kampung Mendangin, Jalan Pejabat Daerah Kecil, Jalan Bandau, Jalan Kampung Brunei dan Jalan Kampung Limpayau.

Manakala, di Beaufort membabitkan Jalan Kampung Bakalau Simpang Empat.

Sementara itu, paras air Sungai Membakut merekodkan tahap bahaya dengan bacaan 7.37 meter, manakala Sungai Padas di Beaufort menurun ke tahap amaran dengan bacaan 8.28m.

Banjir di Beaufort dan Membakut turut menjejaskan perkhidmatan kereta api bagi laluan Kota Kinabalu-Membakut-Beaufort dan sebaliknya.

Difahamkan, perkhidmatan kereta api bagi laluan berkenaan hanya setakat Stesen Bongawan sahaja.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Disember 2019 @ 10:49 AM