MAHAMAD Farizar menunjukkan arnab pedaging di ladang FM Agro Farm di Kampung Seri Fajar.
MAHAMAD Farizar menunjukkan arnab pedaging di ladang FM Agro Farm di Kampung Seri Fajar.
Mohd Rafi Mamat


KUANTAN: Sambutan menggalakkan pelanggan terhadap daging arnab mendorong Mahamad Farizar Mahamad, 35, menternak haiwan berkenaan secara komersial di Kampung Seri Fajar, di sini.

Bermula sebagai hobi dengan memiliki sembilan arnab, kini selepas tiga tahun dia mempunyai lebih 300 haiwan berkenaan jenis pedaging dan hiasan.

Mahamad Farizar berkata, sifat arnab yang cepat membiak dan tidak mudah dijangkiti penyakit menjadi kelebihan untuk dia terus berjaya mengusahakan projek berkenaan.

Katanya, permintaan daging arnab sentiasa bertambah menyebabkan dia tidak dapat memenuhi permintaan pelanggan tempatan dan luar Pahang malah setiap bulan ladang FM Agro Farm miliknya hanya mampu mengeluarkan kira-kira 100 kilogram (kg).

“Saya mempunyai 200 pelanggan tetap yang memerlukan bekalan daging segar serta berempah dan masing-masing memerlukan antara lima hingga 20kg sebulan. Harga daging bertulang RM36 manakala RM47kg bagi daging tanpa tulang.

“Saya terpaksa mendapatkan bekalan daging segar daripada beberapa pembekal bagi memenuhi permintaan pengguna,” katanya.

Beliau mula serius mengusahakan projek ternakan arnab pedaging dan hiasan sejak dua tahun lalu selepas mengambil keputusan menamatkan perkhidmatan dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Oktober lalu.

Mahamad Farizar berkata, selain menjual daging segar dia juga membekalkan baka atau anak arnab berumur dua bulan dengan harga antara RM50 hingga RM100 seekor dan permintaan sangat menggalakkan.

Katanya, dia mampu meraih pendapatan lebih RM3,000 sebulan hasil jualan daging, anak arnab dan induk dewasa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Disember 2019 @ 5:50 AM