KEADAAN banjir di sekitar Rantau Panjang dirakam pada 2 Disember. FOTO Arkib NSTP
KEADAAN banjir di sekitar Rantau Panjang dirakam pada 2 Disember. FOTO Arkib NSTP
Syaherah Mustafa
am@hmetro.com.my


AGENSI Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memberi amaran gelombang banjir kedua dijangka berlaku pada 25 dan 26 Disember dalam skala sama atau melebihi gelombang pertama.

Timbalan Pengarah Bahagian Penyelarasan Operasi NADMA, Rusli Ibrahim berkata, gelombang kedua dikhuatiri bertembung dengan air pasang besar di laut perairan Kelantan.

Katanya, mengikut ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia, terdapat empat hingga enam luruan angin yang boleh berlaku.

“Jika hujan lebat berlaku pada 25 dan 26 Disember, kita bimbang gelombang terbabit lebih tinggi berbanding yang sedang berlaku sekarang, jika ia bertembung dengan air pasang.

“Tapi kita ramalkan banjir berlaku seperti seperti 2016 dan 2017 sahaja.

“Pusat pemindahan sementara seluruh Kelantan juga bersiap sedia menerima mangsa dalam skala besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi selepas menyampaikan sumbangan kepada keluarga yang berteduh di dalam lori akibat banjir di Kampung Tersang, di Rantau Panjang, semalam.

NSTP semalam melaporkan sebanyak enam keluarga membabitkan lebih 40 mangsa terpaksa bermalam di dalam lori akibat banjir yang melanda sejak lima hari lalu di kampung terbabit.

Rusli turut menasihatkan penduduk khususnya di Kelantan tidak bermain air untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Disember 2019 @ 10:23 AM