Mohd Hafizee Mohd Arop


MENGENAKAN bayaran wang proses dan guaman sehingga mencecah RM10,000 bagi meluluskan pinjaman peribadi dipohon menjadi taktik kumpulan sindiket pinjaman wang tidak wujud di Perak untuk memperdayakan mangsa.

Difahamkan, sindiket yang baru beroperasi seminggu di dua unit kondominium di Ipoh sudah memperdaya empat mangsa dengan nilai kerugian keseluruhan dianggarkan RM50,000.

Sindiket dipercayai menghubungi mangsa dengan menyamar pegawai bank sebelum mengenakan pelbagai bayaran antaranya wang proses dan bayaran guaman jika mahu pinjaman diluluskan.

Namun taktik sindiket yang menjadikan unit kondominium berpengawal sebagai pusat panggilan untuk mengaburi pihak berkuasa gagal selepas 13 ahli kumpulan sindiket itu termasuk seorang wanita diberkas polis semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Perak, Superintendan Hasbullah Abd Rahman berkata, polis berjaya mengesan kegiatan kumpulan itu sebelum sepasukan pegawai dan anggota dari JSJK Bukit Aman dan JSJK Perak menyerbu dua unit kondominium itu pada 2 petang.

Menurutnya, 13 suspek termasuk seorang wanita berusia lingkungan 24 hingga 34 tahun yang berada di pusat panggilan berkenaan ditahan dan 27 telefon bimbit serta dokumen mengandungi maklumat mangsa dirampas.

Katanya, siasatan awal mendapati sindiket itu memperoleh maklumat peribadi mangsa melalui butiran yang diisi mangsa melalui Facebook (FB) sebelum menghubungi mereka dengan menawarkan pinjaman peribadi.

“Sindiket ini menghubungi mangsa melalui maklumat nombor telefon dibekalkan oleh ketua sindiket dengan menawarkan pinjaman antara RM5,000 hingga RM50,000 kepada mangsa.

“Mangsa yang berminat kemudiannya menghantar dokumen peribadi seperti kad pengenalan, penyata gaji, penyata KWSP dan penyata akaun bank.

“Sindiket pinjaman wang yang tidak wujud ini kemudiannya meminta pelbagai bayaran jika mangsa mahu pinjaman mereka diluluskan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak hari ini.

Hasbullah berkata, empat individu sudah menjadi mangsa sindiket itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenalpasti individu lain yang turut menjadi mangsa.

Katanya, semua tangkapan akan direman di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Disember 2019 @ 12:16 PM
Hasbullah (dua kiri) menunjukkan senarai nama mangsa yang dihubungi sindiket pinjaman wang tidak wujud untuk memperdayakan mangsa. FOTO Muhaizan Yahya
Hasbullah (dua kiri) menunjukkan senarai nama mangsa yang dihubungi sindiket pinjaman wang tidak wujud untuk memperdayakan mangsa. FOTO Muhaizan Yahya