GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Khairul Najib Asarulah Khan


SERAMAI 345 pengunjung pusat hiburan termasuk dua anggota polis lelaki ditahan akibat positif dadah dalam serbuan Op Club Rats 2.0 di seluruh negara, semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, dalam operasi bermula 12 tengah malam itu anggotanya memeriksa 56 pusat hiburan di seluruh negara.

Beliau berkata, seramai 1,753 pengunjung pusat hiburan berusia antara 15 hingga 60 tahun diperiksa sebelum 345 daripada mereka ditahan selepas didapati positif ujian saringan peringkat awal.

“Seramai 144 daripada mereka disyaki positif methamphetamine, 120 (amphetamine), 77 (ketamin), tiga (morfin) dan seorang (benzo).

“Dalam serbuan itu, polis mengesan 78 pengedar dadah dengan menemukan pelbagai jenis dadah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, keseluruhan dadah dirampas seberat 656.9 gram dengan nilai RM66,836.50.

Menurutnya, dua anggota polis lelaki terbabit ditahan di pusat hiburan di Kuala Lumpur atas kesalahan positif amphetamine.

Katanya, semua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 manakala bagi kesalahan mengedar dan memiliki dadah disiasat mengikut Seksyen 39B, 39A (1) dan 12 (2) akta sama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Disember 2019 @ 1:41 AM