SENJATA yang digunakan suspek. FOTO Erika George
SENJATA yang digunakan suspek. FOTO Erika George
Erika George


EMPAT lelaki yang disyaki menyamun sebuah rumah sarang burung di Jalan Tun Hussein Onn, Bintulu, pagi semalam, diberkas polis dalam tempoh kurang 24 jam selepas jenayah itu.

Dalam kejadian samun itu, penjaga premis warga asing didatangi empat lelaki bertopeng jam 3.30 pagi sebelum mengancam mencederakan mangsa jika melawan.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Zulkipli Suhaili berkata, dalam kejadian itu, suspek melarikan seunit telefon bimbit, peralatan solar dan sejumlah wang yang semuanya dianggarkan bernilai RM2,000.

Beliau berkata, semua suspek warga tempatan berusia antara 24 hingga 46 tahun ditahan di dua lokasi berasingan di pasar lama Bintulu petang semalam.

“Operasi dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) berjaya menahan tiga suspek di sebuah stesen minyak Jalan Sebiew manakala suspek kedua ditahan di sebuah rumah tumpangan di pasar lama Bintulu, ” katanya pada sidang media, hari ini.

Polis merampas empat parang, seunit telefon bimbit dan sebuah Perodua Myvi yang menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Menurutnya, hasil semakan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah serta jenayah harta benda.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 395/ 397 Kanun Keseksaan (KK) kerana samun dan rompakan bersenjata.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 November 2019 @ 5:32 PM