RINA. FOTO Arkib NSTP
RINA. FOTO Arkib NSTP
Faliq Lajim


KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar akan menyemak inti pati perjanjian pinjaman pelajaran MARA yang didakwa menyekat kebebasan peminjam, suami atau isteri, dan ibu bapa peminjam daripada terbabit dalam parti politik atau sebarang kegiatan berunsur politik.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, setakat ini, beliau tidak mempunyai masalah berhubung mana-mana penuntut yang mahu menyertai politik dan pihaknya memberi kebebasan.

“Setakat ini, kita belum menahan mana-mana penuntut (yang membabitkan diri dalam politik). Baru-baru ini, saya pergi Korea dan Jepun, jumpa penuntut kita (warga Malaysia) yang terbabit dalam politik, tiada masalah.

“Apa yang kita sudah ubah dalam AUKU (Akta Universiti dan Kolej Universiti), jadi samalah.

“Kita beri mereka kebebasan selagi tidak menyertai perhimpunan haram dan sebagainya. Mereka boleh berpolitik, tiada masalah. Namun, pelajaran mesti diberikan keutamaan.

“Mereka pemimpin generasi akan datang. Kita beri peluang untuk mereka memberi pandangan dan (lontarkan) suara mereka,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Malam Apresiasi Perkhidmatan MARA tahun 2019 di Dewan Perdana FELDA, Kuala Lumpur, malam tadi.

Semalam, media melaporkan kenyataan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Wilayah Persekutuan, Na’im Brundage yang menggesa MARA menjelaskan inti pati pinjaman itu berikutan ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan kepada rakyat.

Naim turut dilaporkan berkata, setiap warganegara yang prihatin perlu bertanggungjawab memastikan kebebasan diperuntukkan bagi semua rakyat terus terpelihara.

Dalam laporan itu juga, Naim turut menggesa MARA untuk meneliti semula perjanjian pinjaman pelajaran ini berikutan Seksyen 15(2)(c) dalam AUKU 1971 sudah dimansuhkan sekali gus membenarkan mahasiswa untuk bebas berpolitik di dalam dan luar kampus.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 November 2019 @ 12:26 PM