Hadzlihady Hassan


ANGGOTA bomba dan seorang penduduk kampung dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas sesak nafas akibat terhidu asap tebal dalam kebakaran yang memusnahkan lapan rumah kampung dan sebuah bengkel kenderaan berhampiran Taman Cemerlang, Jelutong dekat Georgetown, hari ini.

Dalam kejadian 11.30 pagi itu, anggota bomba berkenaan sedang memadam kebakaran manakala lelaki berusia 30-an berada di kawasan berhampiran untuk melihat kebakaran itu.

Kedua-dua mereka diberikan rawatan awal sebelum dikejarkan ke HPP dan kini dilaporkan dalam keadaan stabil.

ANGGOTA berusaha memadamkan kebakaran yang memusnahkan lapan rumah kampung di Taman Cemerlang. FOTO Mikail Ong
ANGGOTA berusaha memadamkan kebakaran yang memusnahkan lapan rumah kampung di Taman Cemerlang. FOTO Mikail Ong

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, A’Azelan Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan jam 11.44 pagi dan dua jentera bergegas ke lokasi kejadian untuk kerja pemadaman.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, pihaknya mendapati lapan rumah serta sebuah bengkel kenderaan hangus namun api dapat dikawal dengan bantuan tiga jentera dari Balai Bomba Paya Terubong dan Lebuh Pantai.

“Kerja memadam kebakaran agak sukar kerana jalan di kampung terbabit terlalu sempit, malah kita juga terpaksa meletakkan jentera bomba sejauh 500 meter dari lokasi kejadian.

“Selain itu, struktur bangunan yang diperbuat daripada kayu menyebabkan api merebak dengan cepat dan asap tebal menyelubungi sekitar kawasan kejadian,” katanya.

Menurutnya, punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 November 2019 @ 6:11 PM