Hannah bersama sebahagian daripada 30 penerima sijil pada Perasmian Program Anugerah Kerjaya Cemerlang OKU di Aulong hari ini. FOTO Bernama
Hannah bersama sebahagian daripada 30 penerima sijil pada Perasmian Program Anugerah Kerjaya Cemerlang OKU di Aulong hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

SEMUA agensi kerajaan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan kerajaan negeri diminta mengenal pasti dewan orang ramai serta kuarters yang tidak diguna bagi membolehkan Orang Kelainan Upaya (OKU) dilatih di situ untuk meningkatkan kemahiran bekerja dan hidup mereka.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh berkata, perkara itu juga boleh mengurangkan beban pemilik bengkel yang terpaksa menyewa bangunan bagi menempatkan golongan itu bekerja.

“Langkah itu akan membolehkan lebih ramai golongan OKU ditempatkan di situ (bangunan tidak digunakan) berbanding menyewa bangunan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Anugerah Kerjaya Cemerlang OKU di Bengkel Perlindungan Semangat Maju Taiping di Aulong, Taiping hari ini.

Beliau berkata, golongan OKU juga adalah aset negara dan mereka juga memerlukan kehidupan selesa termasuk kemahiran dan bersosial.

“Ia berdasarkan maklum balas yang positif daripada majikan seperti syarikat pusat membeli-belah AEON dan Mydin yang menyatakan pekerja OKU lebih fokus dalam menjalankan tugas dan kekal bekerja lebih lama di sesebuah organisasi,” katanya.

Menurut Hannah, 263 OKU terbabit dalam program Job Coach yang dijalankan Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya sehingga Oktober tahun ini.

“Daripada jumlah itu, 178 OKU atau 68 peratus daripadanya adalah OKU Masalah Pembelajaran. Sebanyak 165 syarikat dari seluruh negara terbabit,” katanya.

Selain itu, Hannah berkata, Perak adalah negeri ketiga tertinggi yang mempunyai pendaftaran OKU Masalah Pembelajaran iaitu 15,748 orang selepas Selangor (29,063) dan Johor 21,474 orang.

Beliau berkata, kementeriannya akan menubuhkan lima lagi Pusat Latihan Berdikari (ILC) di negara ini untuk membantu golongan OKU berdikari dan tahun ini, dua ILC ditubuhkan dengan peruntukan RM900,000 bagi kedua-duanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 November 2019 @ 12:58 AM