BOMBA membantu memadam kebakaran kereta mangsa. FOTO Ihsan Bomba
BOMBA membantu memadam kebakaran kereta mangsa. FOTO Ihsan Bomba
Garret Dawum

SEORANG pelajar lelaki yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berdepan detik cemas selepas kereta dipandu terbakar di Jalan Lapangan Terbang, di Kuching, hari ini.

Mangsa berusia 17 tahun itu dikatakan dalam perjalanan ke sekolah untuk menduduki peperiksaan berkenaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.39 pagi.

“Seramai sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, didapati sebuah kereta terbakar berhampiran persimpangan lampu isyarat manakala, pemandunya berjaya keluar menyelamatkan diri,” katanya ketika dihubungi.

Menurut jurucakap itu, api berjaya dikawal pada 6.50 pagi dan operasi tamat pada 7.15 pagi.

“Akibat kejadian, pelajar terbabit luka di mata dan diberikan rawatan awal oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

“Kebakaran juga memusnahkan 100 peratus kenderaan itu dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.

Difahamkan, bomba kemudian menghantar pelajar itu ke sekolah dan dia sempat menduduki peperiksaan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 November 2019 @ 8:23 AM