Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


“JANGAN terlalu menekan anak-anak soal pelajaran sehingga boleh mendatangkan depresi. Biar mereka bermain dan relaks,” titah Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Titahnya, anak perlu diberikan sedikit kelonggaran kerana mereka sudah terbeban dengan aktiviti di sekolah dan tugasan lain.

Baginda bertitah, tekanan yang diberikan boleh mendatangkan depresi sehingga mendorong berlakunya cubaan membunuh diri dan sebagainya.

“Saya nak ingatkan ibu bapa, kita muda hanya sekali namun kadang-kadang biarlah mereka (anak-anak) bermain.

“Masa saya (bersekolah) bawa balik kerja sekolah, babah (ayahanda Seri Paduka, Almarhum Sultan Iskandar) selalu cakap kenapa cikgu bagi homework (kerja sekolah) banyak, setakat di sekolah cukuplah. Sampai bila babah nak luangkan masa dengan anak-anak?” titahnya.

Baginda bertitah pada Majlis Aspresiasi Pendidikan ke-16 Sekolah Kebangsaan Tunku Azizah (SKTA) di Kuantan, hari ini.

Menurut Tunku Azizah, peranan ibu bapa adalah penting untuk mengelak anak mereka terbabit dengan masalah sosial khususnya berkait penggunaan media sosial.

TUNKU Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menyampaikan anugerah kepada murid sindrom down, Nik Mohamad Afiq Nik Aziz, 7. FOTO Muhd Asyraf Sawal.
TUNKU Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menyampaikan anugerah kepada murid sindrom down, Nik Mohamad Afiq Nik Aziz, 7. FOTO Muhd Asyraf Sawal.

“Ibu bapa perlu memberi perhatian dan pemantauan terhadap penggunaan internet terutama media sosial anak-anak.

“Walaupun anak-anak saya bermain Twitter dan Instagram tetapi, anak-anak perlu faham supaya tidak terpengaruh dengan (orang) laman sosial.

“Kalau rasa orang itu memberi negatif, sekat akaun pengguna terbabit,” titah baginda.

Baginda bertitah, ibu bapa juga perlu mengenal pasti rakan anak masing-masing untuk mengawal pergerakan mereka daripada terjerumus dalam masalah sosial.

“Di zaman ini, sesibuk mana pun kita, perlu luangkan masa dengan anak-anak. Didikan agama yang mantap perlu diberikan bagi memupuk sahsiah yang baik.

“Adat dan tradisi lama jangan dipinggirkan. Nilai-nilai murni seperti menghormati ibu bapa, rakan-rakan, guru dan masyarakat perlu dipupuk agar mereka mendengar nasihat orang yang lebih berpengalaman,” titah tuanku.

Terdahulu baginda berkenan menyampaikan anugerah kepada murid cemerlang.

Sebanyak 149 anugerah diterima murid tahun satu hingga enam dan tujuh anugerah kecemerlangan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan 11 anugerah tokoh murid.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 November 2019 @ 2:26 PM