Abang Johari (tengah) bersama Syed Hussain (kanan) menyaksikan pertukaran dokumen antara Dr Jeniri dan Kamal (dua kanan) selepas majlis menandatangani MoU di Dewan Kenyalang, Kompleks DUN Sarawak di Kuching hari ini. Foto Hazreen Mohamad
Abang Johari (tengah) bersama Syed Hussain (kanan) menyaksikan pertukaran dokumen antara Dr Jeniri dan Kamal (dua kanan) selepas majlis menandatangani MoU di Dewan Kenyalang, Kompleks DUN Sarawak di Kuching hari ini. Foto Hazreen Mohamad
Melvin Joni


MEDIA Prima Berhad (MPB) memeterai kerjasama strategik dengan penerbit berita di Sarawak, SV News Sdn Bhd (SV News) menerusi memorandum persefahaman (MoU) ke arah meningkatkan perkhidmatan media dan kandungan di negeri itu hari ini.

Kerjasama melalui akhbar terbitan SV News iaitu Suara Sarawak dan New Sarawak Tribune, dengan memanfaatkan platform bersepadu MPB yang mempunyai jangkauan audiens dan pengalaman luas dalam penerbitan berita, kandungan pendidikan, operasi penyiaran, penyediaan kandungan dan khidmat runding digital.

Pengarah Urusan Kumpulan MPB Datuk Kamal Khalid berkata, pihaknya berterima kasih kerana dapat bekerjasama sebagai rakan strategik SV News untuk menerbit dan menyampaikan perkhidmatan media serta kandungan yang berkualiti.

Menurutnya, pihaknya yakin kerjasama itu saling memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dan yang lebih penting adalah manfaat kepada rakyat Sarawak.

“MPB berbesar hati kerana dapat menawarkan perkhidmatan profesional kami, antaranya dalam bidang penyiaran, berkongsi kandungan berita dan meluaskan liputan media kepada kerajaan Sarawak.

“Kepelbagaian platform media kami adalah saluran yang ideal untuk mengetengahkan aneka bakat dan kandungan dari pelbagai kebudayaan di Sarawak untuk disampaikan ke seluruh negara,” katanya.

MoU itu ditandatangani Kamal dan Ketua Pegawai Eksekutif SV News Dr Jeniri Amir sambil disaksikan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg dan Pengerusi Kumpulan MPB Datuk Syed Hussian Aljunid di majlis yang berlangsung di Dewan Kenyalang, Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di Kuching.

Hadir sama Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Editorial MPB Mustapha Kamil Mohd Janor dan Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin.

Keseluruhan kerjasama itu juga membabitkan bidang pembangunan sumber manusia, kepakaran teknikal, penerbitan berita, pertukaran kandungan, pemasaran dan promosi kandungan berunsurkan pendidikan bagi pelajar sekolah rendah dan menengah.

Matlamat lain ialah untuk memasar dan mempromosi program domestik dan antarabangsa di Sarawak.

Sebagai permulaan, MPB dan SV News bekerjasama dalam pelbagai aktiviti termasuk pengedaran kandungan pendidikan akhbar Berita Harian (BH) iaitu BH Didik, BH Minda dan BH Skor sebagai sisipan dalam akhbar Suara Sarawak dan kandungan pendidikan akhbar New Straits Times iaitu NST School Times sebagai sisipan dalam akhbar New Sarawak Tribune.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 November 2019 @ 8:28 PM