Dr Wan Azizah merasmikan Hawa Mart Community di Masjid Al-Ubudiah, Bukit Segambut hari ini. FOTO Ihsan FB Dr Wan Azizah Wan Ismail
Dr Wan Azizah merasmikan Hawa Mart Community di Masjid Al-Ubudiah, Bukit Segambut hari ini. FOTO Ihsan FB Dr Wan Azizah Wan Ismail
Amir Abd Hamid


TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memberikan sokongan kepada kedai serbaneka atau kiosk masjid yang menawarkan barangan halal termasuk dikeluarkan sendiri ahli kariah masjid.

Bercakap selepas merasmikan Hawa Mart Community (Hawa Mart) Masjid Al-Ubudiah di Bukit Segambut, Kuala Lumpur hari ini, beliau berharap sasaran Hawa Mart membuka 100 kedai seumpamanya dapat dicapai.

Hawa Mart diusahakan menerusi inisiatif eRezeki iaitu program #YOUCANDUIT, kempen digital untuk meningkatkan pendapatan tambahan di kalangan rakyat Malaysia melalui inisiatif digital selain eUsahawan di bawah seliaan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

“Konsep Kedai Hawa Mart adalah kedai serbaneka yang menawarkan penjualan barangan halal termasuk yang dibuat oleh ahli kariah sendiri.

“Mereka menyasarkan membuka 100 kedai seperti ini untuk tahun operasi pertama.

“Semoga impian Hawa Mart untuk membuka lebih banyak kiosk di masjid tercapai,” katanya dalam hantaran Facebook (FB) rasmi Dr Wan Azizah Wan Ismail sambil memberitahu beliau juga adalah ahli kariah Masjid Al-Ubudiah, Bukit Segambut.

Carian di laman sesawang MDEC mendapati tertera penerangan mengenai eRezeki yang membuka peluang kepada individu dan isi rumah berpendapatan rendah untuk meraih peluang menjana pendapatan, menerusi kaedah dan teknologi digital.

Individu akan diberi latihan untuk melakukan tugasan yang bersesuaian dan menjadi sebahagian tenaga kerja digital yang berdaya saing.

eUsahawan adalah program keusahawanan digital untuk pelajar kolej vokasional dan usahawan mikro yang berminat menceburi perniagaan digital.

Peserta diberi pendedahan kepada teknik pemasaran digital yang efektif, praktikal dan relevan kepada pengguna semasa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 November 2019 @ 6:45 PM