KERJA-KERJA mengalihkan tanah runtuh sedang dilakukan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Perbandaran Taiping (MPT) di Bukit Larut, Taiping. FOTO Ihsan Bomba
KERJA-KERJA mengalihkan tanah runtuh sedang dilakukan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Perbandaran Taiping (MPT) di Bukit Larut, Taiping. FOTO Ihsan Bomba
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


EMPAT lelaki membabitkan dua pekerja dan dua pengawal keselamatan stesen telekomunikasi di Bukit Larut di Taiping, terperangkap susulan kejadian tanah runtuh yang menghalang laluan ke stesen berkenaan hari ini.

Pasukan bomba mendapat maklumat mengenai kejadian itu pada 8.52 pagi tadi membabitkan empat mangsa yang mengalami kesukaran untuk turun berikutan jalan di bukit berkenaan tidak dapat dilalui susulan tanah runtuh.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, susulan maklumat diterima itu sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping ke lokasi kejadian untuk operasi menyelamat.

“Setibanya di lokasi kejadian didapati dua staf telekomunikasi dan dua pengawal keselamatan terperangkap di stesen berkenaan pada ketinggian kira-kira 1,000 meter dari aras laut dan keempat-empatnya dilaporkan selamat.

“Operasi menurunkan mangsa sedang dijalankan dan kerja-kerja mengalihkan tanah runtuh sedang dilakukan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Perbandaran Taiping (MPT),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, operasi menyelamat itu diketuai Penolong Kanan Penguasa Bomba, Rafeel Hairul Richard.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 November 2019 @ 12:27 PM