LEBIH 5,000 liter minyak petrol dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) menerusi Ops Pensura Khas yang di jalankan di Kampung Kuala Bibang, Semporna. FOTO Ihsan PPM
LEBIH 5,000 liter minyak petrol dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) menerusi Ops Pensura Khas yang di jalankan di Kampung Kuala Bibang, Semporna. FOTO Ihsan PPM
Abdul Rahemang Taiming


LEBIH 5,000 liter minyak petrol dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) menerusi Ops Pensura Khas yang di jalankan di Kampung Kuala Bibang, dekat Semporna, petang kelmarin.

Operasi khas lebih enam jam bermula 6.40 petang itu susulan maklumat Unit Risikan Marin (URM) bersama Bahagian Risikan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) diketuai Inspektor Wan Azizan Wan Sapian, menyerbu tiga lokasi berasingan di kampung terbabit dipercayai menjadi lokasi penyeludupan barang kawalan.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, dalam serbuan itu pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan berumur 47 tahun disyaki suspek dan dalang utama aktiviti penyeludupan di kampung berkenaan.

Pemeriksaan di kedai runcit milik suspek turut menemui sebuah stor dalam keadaan berkunci dipercayai dijadikan tempat penyimpanan minyak petrol bersubsidi.

“Pemeriksaan lanjut dalam stor berkenaan menemui kira-kira 3,400 liter minyak petrol di dalam 136 jerikin dengan setiap satu mengandungi kira-kira 25 liter minyak petrol.

“Suspek yang mengaku sebagai pemilik semua barang kawalan terbabit juga gagal mengemukakan sebarang dokumen kelulusan atau permit yang sah daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP),” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Jelasnya, dalam serbuan itu juga pihaknya turut merampas kira-kira 800 liter minyak petrol yang disimpan di dalam sebuah perahu dipercayai menunggu masa untuk diseludup ke negara jiran.

Bagaimanapun katanya, tiada individu atau pihak yang tampil atau mengaku sebagai pemilik bot atau minyak petrol terbabit.

“Sepanjang operasi ini, selain minyak petrol, enam perahu pelbagai saiz bersama 10 unit enjin sangkut turut dirampas dengan nilai keseluruhan dianggarkan berjumlah RM187,736.

“Semua barang rampasan itu, dibawa ke Markas Operasi PPM Semporna untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 November 2019 @ 12:12 PM