FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Mohd Roji Kawi


WABAK rabies atau penyakit anjing gila meragut nyawa mangsa ke-21 di Sarawak selepas kanak-kanak lelaki lima tahun disahkan meninggal dunia akibat wabak itu, 2 November lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah ketika mengesahkan perkara itu berkata, mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak.

“Kanak-kanak itu berasal dari Kampung Mambong, Jalan Penrissen, Kuching.

“Sampel untuk ujian rabies yang dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) mengesahkan mangsa positif rabies,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kanak-kanak itu tidak aktif sejak 13 Oktober dan mengadu sakit tekak.

Katanya, pada 15 Oktober, dia mengalami demam dan berkelakuan luar daripada kebiasaan, lalu dibawa ke klinik swasta untuk pemeriksaan.

“Keadaannya bertambah teruk dan dibawa pula ke Klinik Kesihatan pada 18 Oktober dan dirawat sebagai pesakit luar dengan diagnosa Upper Respiratory Tract Infection (URTI).

“Seterusnya pada 21 Oktober 2019, mangsa dibawa ke Hospital Umum Sarawak apabila keadaannya semakin lemah,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, keluarga mangsa mempunyai dua anjing peliharaan di rumah.

“Difahamkan kedua-dua anjing itu tidak pernah mendapat vaksinasi anti-rabies dan bebas bergaul dengan anjing liar, namun hingga kini kedua-dua anjing itu masih hidup dan sihat.

“Mangsa juga tidak pernah mengadu digigit anjing atau haiwan lain dan kes rabies terbaharu ini sudah dimaklumkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak untuk tindakan lanjut,” katanya.

Kes terbaharu itu menjadikan 22 jangkitan rabies kalangan manusia di Sarawak sejak wabak itu diisytiharkan pada 1 Julai 2017 dengan enam daripadanya dikesan berlaku tahun ini.

Daripada jumlah itu, 21 mangsa meninggal dunia, manakala seorang mangsa iaitu seorang kanak-kanak perempuan mengalami komplikasi neurologi teruk dengan hanya bergantung kepada alat bantuan hayat sejak dua tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 November 2019 @ 10:54 AM