Siraj Mohd Zaini


“KAMU dah kahwin dan ada isteri.. (tapi) buat macam ini, kamu khianat pada keluarga kamu,” kata Hakim Syarie Mohd Asri Mohd Tahir.

Beliau berkata demikian sebelum menjatuhkan hukuman penjara tujuh bulan, denda RM4,900 dan enam kali sebatan terhadap tertuduh lelaki berusia 42 tahun yang disabitkan kesalahan kerana cuba melakukan persetubuhan sejenis, November tahun lalu.

Mohd Asri turut menjatuhkan hukuman penjara enam bulan, denda RM4,800 dan enam kali sebatan terhadap empat lagi lelaki berusia 27 hingga 37 tahun yang disabitkan kesalahan terhadap pertuduhan sama.

Dalam prosiding itu, Mohd Asri memerintahkan semua tertuduh yang bekerja sebagai penjawat awam dan swasta, menjalani hukuman penjara tiga bulan dan empat bulan sekiranya gagal membayar denda.

Terdahulu, dalam penghakimannya, beliau berkata, kesalahan yang dilakukan adalah serius dan bertentangan dengan fitrah manusia.

“Kesemua tertuduh ditemui dalam keadaan tidak berpakaian di tingkat dua apartmen itu bersama-sama tujuh lelaki lain termasuk tiga lelaki bukan Islam selain turut ada kondom dan bahan pelincir.

“Fakta berkenaan menunjukkan persediaan untuk melakukan persetubuhan luar tabii dan bukan percubaan peringkat awal,” katanya.

Katanya, hukuman denda sahaja disifatkan tidak memadai bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat supaya tidak melakukan perbuatan berkenaan.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa cuba melakukan persetubuhan dengan seorang atau lebih daripada seorang, dengan mana-mana lelaki di dalam sebuah apartmen di Bandar Baru Bangi pada 9.30 malam, 9 November 2018.

Mereka didakwa mengikut Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 dibaca bersama Seksyen 52 dan Seksyen 28 enakmen sama iaitu percubaan untuk melakukan persetubuhan bertentangan dengan hukum tabii.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM5,000, atau dipenjarakan tidak lebih lapan bulan atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman berkenaan.

Pendakwaan dijalankan Pendakwa Syarie Atras Mohamad Zain manakala, kelima-lima tertuduh diwakili peguam syarie Nurain Kamarudin.

Harian Metro pada 11 November 2018 melaporkan sepasukan pegawai JAIS menyerbu sebuah apartmen dua tingkat di lokasi berkenaan kerana dipercayai terbabit dengan aktiviti songsang.

Serbuan dilakukan hasil maklumat awam berhubung pesta lelaki songsang di premis berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 November 2019 @ 2:16 PM
LIMA lelaki dijatuhi hukuman penjara, denda dan sebat oleh Mahkamah Tinggi Syariah atas tuduhan cuba melakukan hubungan sejenis, November 2018. FOTO Sairien Nafis.
LIMA lelaki dijatuhi hukuman penjara, denda dan sebat oleh Mahkamah Tinggi Syariah atas tuduhan cuba melakukan hubungan sejenis, November 2018. FOTO Sairien Nafis.