Satu laluan di Jalan Ion Delemen yang sudah dibuka 4 petang tadi. FOTO Ihsan JBPM
Satu laluan di Jalan Ion Delemen yang sudah dibuka 4 petang tadi. FOTO Ihsan JBPM
Khairul Najib Asarulah Khan


LALUAN untuk menuju hotel dan pangsapuri yang terletak di Jalan Ion Delemen, Genting Highlands dijangka dapat digunakan sepenuhnya esok.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Genting Highlands, Penolong Kanan Penguasa Bomba Yusry Abdullah Sani bagaimanapun berkata, pembukaan semula jalan itu bergantung pada faktor cuaca.

Menurutnya, jika hujan lebat mungkin berlaku kelewatan selain pihaknya terpaksa menutup semula satu laluan yang sudah dibuka 4 petang tadi.

“Ini kerana pergerakan tanah masih berlaku namun ia tidak besar. Buat masa ini, kontraktor giat membersihkan laluan berkenaan.

“Kita juga hanya membenarkan kenderaan ringan saja melalui jalan itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Yusry berkata, bagi laluan pejalan kaki sepanjang 600 meter yang dibuat kontraktor semalam ia sudah ditutup sepenuhnya hari ini.

“Setakat ini, kita memberi fokus di jalan utama menuju hotel dan pangsapuri itu dan keadaan terkawal,” katanya.

Dalam kejadian 5 petang semalam hampir 200 kakitangan serta penghuni di sebuah hotel dan pangsapuri terperangkap apabila tanah runtuh akibat hujan lebat di laluan berkenaan.

Akibat kejadian itu, kontraktor membina laluan pejalan kaki bagi menghubungkan pelancong dan pekerja yang ingin pulang ke penginapan selepas mengunjungi pusat peranginan Genting Highlands.

Berita berkaitan

Pembersihan tanah runtuh Genting Highlands selesai hari ini

Laluan hotel, pangsapuri tertutup [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 November 2019 @ 11:23 PM