FOTO hiasan
FOTO hiasan
Siti Nor Hidayatidayu Razali


GOLONGAN remaja di negara ini yang terbabit dengan ‘digital drug’ sangat membimbangkan apabila kajian mendapati mereka memperuntukkan masa selama lapan jam sehari untuk melayari internet.

Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, ia adalah hasil kajian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tahun lalu.

Katanya, kajian juga menunjukkan bahawa purata tempoh rakyat Malaysia melayari internet sangat tinggi iaitu 6.6 jam sehari.

“Kebanyakan pengguna mengakses internet menggunakan telefon pintar iaitu sebanyak 93.1 peratus.

“Penggunaan internet yang ekstrim akan mengakibatkan pengguna menjadi ketagih sehingga mengancam kesihatan fizikal dan mental.

“Pengguna juga turut terdedah kepada ancaman siber seperti penipuan dalam talian, gangguan siber kecurian identiti, buli siber, pengaruh media sosial dan spam sehingga mengakibatkan kerugian serta kemudaratan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian penutup Program Pencegahan Jenayah Dalam Kalangan Remaja Peringkat Negeri Kelantan 2019 di Kota Bharu, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi MCPF Kelantan, Datuk Abd Aziz Nawi dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Abu Hanipah@ Fauzi Zahari.

Mengulas lanjut, Lee berkata, situasi ini membimbangkan sekiranya penggunaan internet oleh kanak-kanak dan remaja tidak dipantau ibu bapa kerana mereka akan ketagih.

“Bagi menangani masalah ini, MCPF akan menerbitkan 100,000 naskah buku panduan Awas Media Sosial dan Permainan Dalam Talian (AWASpada) dalam masa terdekat dan bakal diedarkan kepada murid, pelajar dan penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

“Buku ini adalah salah satu usaha menyedarkan masyarakat terutama pelajar dan remaja bahawa kita perlu berhati-hati terhadap penggunaan internet,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Lee berkata, MCPF akan terus menjalankan program kepada golongan remaja terutama murid dan pelajar sekolah untuk memberi kesedaran supaya mereka tidak terbabit dengan gejala pengedaran serta penagihan dadah.

“Isu dadah musuh utama negara dan kita perlu bekerjasama menanganinya terutama ibu bapa dan penjaga diminta memantau anak-anak mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 November 2019 @ 3:35 PM