MOHAMMAD Hamdan (tengah) bergambar bersama pegawai bomba dan penyelamat yang menyertai FAREX 2019 di Stadium Millenium Kuala Kubu Bharu. FOTO ZUNNUR AL SHAFIQ
MOHAMMAD Hamdan (tengah) bergambar bersama pegawai bomba dan penyelamat yang menyertai FAREX 2019 di Stadium Millenium Kuala Kubu Bharu. FOTO ZUNNUR AL SHAFIQ
Nurul Hidayah Bahaudin


CUTI bagi pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan ‘dicatu’ sebagai persediaan menghadapi banjir dijangka akhir tahun ini.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, seramai 10,500 pegawai dan anggota terbabit dalam operasi tugasan secara bergilir bagi tempoh 12 jam di seluruh negara.

“Sebagai persediaan menghadapi banjir, semua pegawai dan anggota diarahkan untuk menyediakan kelengkapan logistik terutama di pantai timur yang dijangka dilanda bencana alam itu.

“Justeru, bagi memudahkan persiapan dan kelengkapan disediakan, cuti bagi pegawai dan anggota bomba di seluruh negara akan ‘dicatu’ untuk tujuan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutupan Firefighters and Rescue Exercise Challenge (FAREX) 2019 di Stadium Taman Millenium, Kuala Kubu Bharu, hari ini.

Hamdan berkata, 400 pasukan bomba sukarela di seluruh negara juga akan dikerahkan bagi membantu menghadapi bencana alam.

“Tidak semua negeri berdepan kemungkinan dilanda banjir. Berikutan itu, kami akan meminta pegawai dan anggota bertugas di lokasi berhampiran kawasan terjejas untuk membantu.

“Pada masa sama, kami juga akan bekerjasama dengan agensi berkaitan seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk melancarkan operasi membantu dan menyelamat mangsa banjir,” katanya.

Dalam majlis itu, seramai 40 pegawai jawatankuasa dan 176 pegawai bomba di seluruh negara terbabit dalam program berkenaan yang julung kali diadakan.

Beliau berkata, penganjuran FAREX tahun ini adalah inisiatif jabatan itu bagi menilai tahap kompetensi dan kecekapan pegawai bomba dalam tugas kebombaan serta penyelamatan.

“Sebelum ini, JBPM mengadakan pertandingan kawad kecekapan yang berfokus kepada tugasan secara berkumpulan.

“FAREX pula mengetengahkan format baru bukan saja membabitkan tugasan dalam kumpulan, malah dari segi individu serta berpasangan yang lebih tepat dengan ciri tugasan harian anggota bomba,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 November 2019 @ 7:23 PM