Nurul Fhatihah Zakinan


AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek, G Saminathan yang berdepan tuduhan memberi sokongan dan memiliki item berkaitan perjuangan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) direhatkan daripada menghadiri Persidangan Ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-14, pada 18 November ini.

Keputusan itu dibuat kerajaan negeri melalui Ketua Menteri, Adly Zahari berdasarkan faktor dan undang-undang perlembagaan negeri.

Adly berkata, berpegang kepada konsep ‘rule of law’ selagi seseorang tidak dibuktikan bersalah, beliau memutuskan Saminathan kekal sebagai ADUN dan Pengerusi Jawatankuasa (EXCO) Perpaduan Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri, serta wakil rakyat itu boleh memohon cuti bagi persidangan enam hari itu.

“Mengikut perlembagaan negeri, memang beliau (Saminathan) boleh memohon untuk bercuti daripada sidang DUN. Selagi tidak sabit, beliau akan kekal (ADUN dan EXCO).

“Kekangan untuk hadir ke sidang DUN kerana beliau masih ditahan. Jadi, kita tidak boleh bertindak tanpa keputusan mahkamah (kedudukan EXCO).

“Itu keputusan (setakat ini) saya buat berdasarkan faktor dan undang-undang kerajaan negeri, Yang Berhormat Sami akan memohon bercuti daripada sidang DUN,” katanya pada program Hari Bertemu Rakyat di Seri Bendahara, Ayer Keroh, hari ini.

Pada program berkenaan, Adly yang juga ADUN Bukit Katil menerima lebih 30 aduan membabitkan isu warga asing, prosedur baharu premis cuci kenderaan dan pengambilalihan tanah di rumah ibadat.

Sebelum ini, pelbagai pihak mendesak kerajaan negeri menggugurkan jawatan EXCO disandang Saminathan yang juga ADUN DAP susulan penahanannya berkaitan Akta Kesalahan Keselamatan, Langkah-langkah Khas 2012 (SOSMA) selain turut didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, atas tuduhan berhubung LTTE, Oktober lalu.

Difahamkan pembangkang akan membawa usul supaya Saminathan dipecat sebagai EXCO pada persidangan berkenaan nanti.

Terdahulu, DAP Melaka menyerahkan kepada Adly menentukan kedudukan Saminathan selepas didakwa di mahkamah kerana memberikan sokongan kepada LTTE.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 November 2019 @ 11:01 PM
ADLY mendengar aduan penduduk pada Hari Bertemu Rakyat di Seri Bendahara, Ayer Keroh, hari ini. FOTO Khairunisah Lokman.
ADLY mendengar aduan penduduk pada Hari Bertemu Rakyat di Seri Bendahara, Ayer Keroh, hari ini. FOTO Khairunisah Lokman.