MOHD Redzuan ditemui media di lobi Parlimen, hari ini. FOTO Eizairi Shamsudin.
MOHD Redzuan ditemui media di lobi Parlimen, hari ini. FOTO Eizairi Shamsudin.
BERNAMA

KEMENTERIAN Pembangunan Usahawan sudah mengenal pasti empat syarikat yang akan diberi tanggungjawab menjadi ‘anchor’ bagi memasarkan pelbagai produk halal dari negara ini pada temasya sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo, tahun hadapan.

Menterinya, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata, pihak kementerian sedang membantu syarikat swasta dan korporat tempatan itu memenuhi kehendak Majlis Olimpik Jepun sesuai dengan standard acara sukan berkenaan.

“Pada tahun lalu saya telah berbincang dengan Menteri Ekonomi Jepun dan persetujuan dicapai dengan mereka untuk menyediakan ruang bagi produk halal kita.

“Bukan sahaja B2B (business to business) tetapi juga B2G (business to government) untuk memastikan tempat yang telah ditetapkan diberikan kepada empat syarikat ‘anchor’ yang kita lantik dan mengikut saringan (halal) yang dibuat kerajaan Jepun,” katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, menyentuh pelaksanaan status hab halal di negara ini, Mohd Redzuan berkata sehingga kini 14 Taman Industri Halal berstatus Halmas (Halal Malaysia) telah dibina dengan jumlah pelaburan hampir RM14 bilion.

Ia merangkumi 240 syarikat yang terdiri daripada 45 syarikat multinasional (MNC) dan 195 syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Sebelum itu, Mohd Redzuan menegaskan projek kereta terbang yang menjadi bahan polemik pelbagai pihak bukanlah inisiatif kerajaan, namun adalah cetusan idea daripada usahawan tempatan yang melihat potensinya.

“Hari ini kita lihat Singapura juga telah mencuba menerbangkan kereta terbang, jadi sebagai kerajaan, kami mempunyai tanggungjawab memastikan minat itu bakal menjadi satu industri yang boleh diberi galakan dan dikembangkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Oktober 2019 @ 8:57 PM