Siti Sofia Md Nasir


SAKSI utama kes penjualan MyKad dan dokumen pengenalan diri sah, memberitahu Mahkamah Tinggi Pulau Pinang di Georgetown, hari ini bahawa beliau bukan individu dikehendaki pihak berkuasa atas kesalahan korporat.

Wang De Qun, 58, tidak bersetuju dengan soalan peguam Mohd Hisham Nazir yang mewakili tertuduh, Mohd Faizul Arifin, ketika prosiding deposisi di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir itu.

Mohd Hisham ketika menyoal De Qun berkata, ada perbezaan ketara terhadap tandatangan ahli perniagaan itu pada tiga afidavit yang dikemukakan kepada mahkamah iaitu pasport China (P1), pasport Vanuata (P2), dan pasport Malaysia (P3).

Katanya, ini sekali gus menimbulkan persoalan bahawa De Qun mungkin mempunyai identiti berbeza di China, dengan menggunakan nama Wang Jiang Lai di negara berkenaan.

De Qun, bagaimanapun, tidak bersetuju dengan soalan terbabit dan menafikan dirinya adalah individu dikehendaki pihak berkuasa sehingga memerlukan pasport asing.

Ketika pemeriksaan semula oleh Pengarah Pendakwaan Negeri, Yusaini Amer Abdul Karim, De Qun mengakui perbezaan tandatangan pada ketiga-tiga pasport terbabit.

“Pasport China memerlukan tulisan Cina, pasport Vanuatu perlu ditandatangani dalam karakter rumi, manakala pasport Malaysia adalah ‘initial’ nama saya dalam tulisan rumi,” katanya.

Pada prosiding deposisi hari pertama semalam, De Qun memaklumkan mempunyai pasport Vanuatu yang diperolehnya melalui program migrasi pelaburan di negara benua Afrika itu.

Terdahulu, pada September lalu, De Qun atau dikenali sebagai Ewe Chor Beng di dalam MyKad, mengaku bersalah atas tuduhan memiliki pasport palsu mengikut Seksyen 12(1)(d) Akta Pasport 1966.

De Qun dihukum penjara selama tiga bulan dari tarikh sabitan, dan dijangka dibebaskan serta dihantar pulang ke negara asalnya pada 13 November ini.

Pada 12 September lalu, enam lelaki termasuk seorang Penolong Pengarah JPN Pulau Pinang berdepan 32 pertuduhan menjual MyKad dan dokumen pengenalan diri sah kepada warga asing.

Mereka ialah Penolong Pengarah JPN Pulau Pinang, Mohd Faizul, 34; Datuk Lai Chin Wah, 56; Loh Chan Cheong, 34; Chien Guan Chai, 36; Yap Cheng Wah, 43, dan Mohd Faizal Tan Abdullah, 66.

Berita berkaitan

Bayar setengah juta untuk MyKad, pasport [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Oktober 2019 @ 3:44 PM
DE Qun (dua dari kiri) ketika hadir di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang. FOTO Danial Saad
DE Qun (dua dari kiri) ketika hadir di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang. FOTO Danial Saad