Penduduk di Tulunan melintasi kawasan sekolah yang runtuh dalam kejadian gempa bumi di wilayah Cotabato, Filipina hari ini. Foto AFP
Penduduk di Tulunan melintasi kawasan sekolah yang runtuh dalam kejadian gempa bumi di wilayah Cotabato, Filipina hari ini. Foto AFP
Siti A’isyah Sukaimi


KEMENTERIAN Luar mengesahkan tiada laporan rakyat Malaysia terjejas susulan kejadian gempa bumi 6.6 skala Richter di timur Tulunan, Cotabato Utara di Filipina hari ini.

Menerusi kenyataannya di Putrajaya, Kementerian Luar memantau perkembangan susulan kejadian itu yang mana pusat gempa bumi terletak kira-kira 152 kilometer dari Davao City.

“Menurut pihak berkuasa tempatan, gempa bumi itu setakat ini mengorbankan dua nyawa serta menyebabkan kerosakan bangunan dan tempat tinggal penduduk.

“Justeru, Kementerian Luar menyampaikan simpati dan ucapan takziah kepada kerajaan dan rakyat Filipina khususnya mereka yang terjejas secara langsung akibat kejadian ini,” katanya.

Mengulas lanjut, kenyataan itu turut meminta rakyat Malaysia di negara berkenaan yang memerlukan bantuan boleh menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Davao City di talian +63 82 221 4050 dan +63 936 9684001 manakala emel, [email protected].

Selain itu, boleh menghubungi Kementerian Luar di talian 03-8887 4530 dan 03-8887 4570 (selepas waktu bekerja).

Media antarabangsa hari ini melaporkan, satu gempa bumi kuat menggegarkan selatan Filipina menyebabkan kecederaan dan merosakkan bangunan.

Tinjauan Geologi Amerika Syarikat melaporkan, gempa bumi itu melanda wilayah Mindanao yang belum pulih dengan bencana alam serupa hampir dua minggu lalu.

Pusat gempa itu dikesan kira-kira 26 kilometer dari timur laut Tulunan, Cotabato pada 9.04 pagi (waktu tempatan), bagaimanapun tiada amaran tsunami dikeluarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Oktober 2019 @ 7:24 PM