Datuk Yong Lei Choo dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur yang baru. Foto Arkib NSTP
Datuk Yong Lei Choo dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur yang baru. Foto Arkib NSTP
Hidayatul Akmal Ahmad


POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan pertukaran serta kenaikan pangkat 11 pegawai kanannya berkuatkuasa 25 November ini.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM Urusetia Ketua Polis Negara (KPN) Datuk Asmawati Ahmad berkata, Komandan Maktab PDRM Kuala Lumpur Deputi Komisioner (DCP) Datuk Yong Lei Choo dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur yang baru.

Menurutnya, ia diikuti Ketua Penolong Pengarah (Agama dan Kaunseling) Bahagian Agama dan Kaunseling Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman Senior Asisten Komisioner (SAC) Datuk Dr Laila Ali yang dilantik sebagai Timbalan Pengarah (Agama dan Kaunseling) Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman dengan memangku pangkat DCP.

Katanya, Ketua Pusat Pengajian Sains dan Kajian Strategik Maktab PDRM Kuala Lumpur SAC Datuk Tan Chong Jin pula dilantik sebagai Komandan Maktab PDRM Kuala Lumpur dengan memangku pangkat DCP.

“Penolong Pengarah Narkotik (Perundangan/Siasatan) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Asisten Komisioner (ACP) Dablir Singh dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah Narkotik (Pelucuthakan Harta) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman dengan memangku pangkat SAC.

“Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor ACP Lukas Aket dilantik ke jawatan Ketua Penolong Pengarah Narkotik (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman dengan memangku pangkat SAC,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Asmawati berkata, Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Che Zaimani Che Awang dilantik sebagai Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kedah dengan memangku pangkat SAC.

Menurutnya, Penolong Pengarah (Siasatan Jenayah Pemalsuan/Pelencungan/Tanah) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial ACP Jamel Salleh dilantik Ketua Penolong Pengarah Operasi Darat Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman dengan memangku pangkat SAC.

Katanya, Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Selangor Superintendan Nor Omar Sapri dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Manjung Perak dengan memangku pangkat ACP.

“Inspektor/ASP/DSP/SUPT Inspektorat Kapal Terbang Pasukan Gerakan Udara KDNKA Bukit Aman Suprintendan Erik Ladong pula dilantik sebagai Ketua Inspektoriat Penerbangan Pasukan Gerakan Udara KDNKA Bukit Aman dengan memangku pangkat ACP.

“Pegawai Turus Taktikal dan Strategi Pasukan Gerakan Udara Jabatan KDNKA Bukit Aman Superintendan Abd Rashid Abdul Jamil pula sebagai Ketua Operasi Penerbangan Pasukan Gerakan Udara Jabatan KDNKA Bukit Aman dengan memangku pangkat ACP.

“Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Siasatan/Perundingan Terengganu Superintendan Soffian Santong pula dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Timur Laut dengan memangku pangkat ACP,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Oktober 2019 @ 11:53 PM