Mohd Taufik (tengah) menunjukkan sebahagian daun ketum dan botol mengandungi cecair hitam dipercayai ubat batuk yang dirampas ketika sidang media di IPD Gua Musang hari ini. Foto Ramli Ibrahim
Mohd Taufik (tengah) menunjukkan sebahagian daun ketum dan botol mengandungi cecair hitam dipercayai ubat batuk yang dirampas ketika sidang media di IPD Gua Musang hari ini. Foto Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


TIGA lelaki ditahan bersama daun ketum seberat 480 kilogram (kg) bernilai RM8,400 di dua lokasi berasingan di Gua Musang pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, rampasan pertama dilakukan selepas pihaknya menahan sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam keadaan mencurigakan pada 5.30 pagi di Taman Tropikal.

“Kenderaan itu dinaiki seorang lelaki berusia 37 tahun dan dipercayai baru tiba di taman berkenaan selepas melalui Jalan Simpang Pulai-Gua Musang.

“Pemeriksaan dalam kenderaan itu menemui 25 guni berisi 200 kg daun ketum dipercayai untuk pasaran di Pahang,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang hari ini.

Menurutnya, pada 9 pagi hari yang sama, pihaknya melakukan rampasan kedua selepas menahan sebuah Perodua Alza dinaiki dua lelaki berusia 32 dan 36 tahun di Kilometer 20 Jalan Gua Musang-Kuala Krai.

“Pemeriksaan lanjut menemui 280 kg daun ketum, 100 botol mengandungi cecair hitam dipercayai ubat batuk dan separuh air ketum dalam botol mineral.

“Siasatan mendapati bekalan daun ketum itu untuk pasaran di daerah ini, Kuala Krai dan Kota Bharu,” katanya.

Mohd Taufik berkata, mereka menggunakan laluan di Gua Musang untuk mengelakkan daripada dikesan pihak berkuasa.

Katanya, ujian air kencing yang dijalankan mendapati suspek yang juga positif dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Oktober 2019 @ 7:19 PM