ROKOK dan arak ditemui dalam kenderaan suspek. FOTO ihsan Ihsan Pasukan Gerakan Am (PGA)
ROKOK dan arak ditemui dalam kenderaan suspek. FOTO ihsan Ihsan Pasukan Gerakan Am (PGA)
Hazsyah Abdul Rahman


WANITA gagal melepasi Pusat Pemeriksaan Jalan (PPJ) Sapi Nangoh, dekat Beluran, selepas didapati cuba membawa rokok seludup dan arak tanpa cukai, semalam.

Dalam kejadian 11.30 pagi, suspek berusia 34 tahun itu ditahan bersama rokok seludup dan arak dianggarkan bernilai RM8,322.

Pegawai Memerintah Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 20 Beluran, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, sebelum penahanan dijalankan wanita itu dilaporkan cuba melalui PPJ berkenaan dengan memandu kenderaan bersendirian.

Katanya, anggota bertugas kemudian meminta pemandu itu berhenti lalu menjalankan pemeriksaan lanjut.

“Sebaik diperiksa, terdapat 200 bungkus rokok seludup dan 120 tin minuman keras ditemui dalam kenderaan wanita terbabit.

“Selain itu, 96 botol minuman keras turut ditemui disimpan di tempat duduk penumpang hadapan dan belakang kenderaan serta di bonet belakang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Nasaruddin berkata, wanita itu gagal mengemukakan dokumen memiliki barangan terbabit kepada anggota bertugas.

“Wanita terbabit ditahan dan semua barangan dirampas untuk siasatan lanjut termasuk kenderaan digunakan.

“Semua rampasan dianggarkan bernilai RM15,322 dan kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(D) Akta Kastam 1967,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 8:16 AM