BANJIR berikutan hujan lebat di Taman Tembikai, Bukit Mertajam. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal.
BANJIR berikutan hujan lebat di Taman Tembikai, Bukit Mertajam. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal.
BERNAMA

EMPAT hingga enam episod hujan lebat diramal berlaku sepanjang musim Monsun Timur Laut yang dijangka bermula 24 Oktober ini hingga Mac tahun depan.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan hari ini, pada musim ini juga banjir boleh berlaku di kawasan rendah dan kawasan kerap banjir akibat hujan lebat berterusan untuk tempoh beberapa hari.

“Semasa fasa awal Monsun Timur Laut iaitu sehingga awal Januari 2020, episod hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor, manakala pada awal Januari dan Februari 2020, episod hujan lebat dijangka lebih tertumpu di Sarawak serta Sabah.

“Sekiranya hujan lebat berlaku serentak dengan kejadian air pasang, risiko kejadian banjir boleh menjadi lebih buruk, selain itu tiupan angin Timur Laut secara berterusan dan kencang boleh menyebabkan laut bergelora dan ombak besar di perairan Laut China Selatan,” jelas kenyataan itu.

Orang ramai dinasihati agar bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh dan sentiasa peka dengan amaran hujan lebat serta angin kencang dan laut bergelora yang dikeluarkan oleh jabatan itu menerusi laman web, aplikasi myCuaca dan media sosial.

– BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Oktober 2019 @ 8:17 PM