FOTO Arkib NSTP.
FOTO Arkib NSTP.
Idris Musa


TIADA maklumat terperinci mengenai pekerja yang berkemungkinan terkesan dengan bahan radioaktif di kilang Lynas di Kuantan, Pahang.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Isnaraissah Munirah Majilis ketika sidang Dewan Rakyat, hari ini.

“Setakat ini kita tidak ada menerima maklumat berkenaan. Maklumat mengenai kesan kesihatan mungkin kita boleh mendapatkannya daripada Kementerian Kesihatan, untuk kita dapatkan informasi yang lebih holistik dan terperinci,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (Pas-Kubang Kerian) mengenai jumlah pekerja disyaki terkesan dengan radioaktif di kilang itu, ketika sesi Waktu-Waktu Pertanyaan Menteri.

Mengulas lanjut Isnaraissah Munirah berkata, di peringkat kementerian, yang penting adalah cara untuk mengendalikan sisa radioaktif itu dengan syarat ditetapkan sebelum ini.

Kepada soalan asal Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) berhubung alasan kerajaan meneruskan kilang Lynas, jawabnya, Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (LPTA) sudah meluluskan pembaharuan lesen operasi Lynas selama enam bulan sahaja dengan syarat lebih ketat bagi memastikan operasi terutama pengurusan sisanya selamat.

Antara syarat ditetapkan katanya, Lynas hendaklah mengemukakan perancangan bagi pembinaan kemudahan ‘cracking and leaching’ di luar negara bagi tujuan memindahkan proses itu yang kini dijalankan di lojinya di Gebeng, Kuantan, keluar dari Malaysia.

Beliau berkata, selepas kemudahan ‘cracking and leaching’ mula beroperasi di luar negara, pemegang lesen tidak lagi dibenarkan menghasilkan residu radioaktif yang melebihi 1 Becquerrel per gram di lojinya di Gebeng.

“Dengan syarat ini, kerajaan hendak memastikan bahawa penghasilan residu radioaktif oleh operasi Lynas dihentikan dalam masa depan.

Menurutnya, kerajaan melalui LPTA juga secara tetap melakukan pemeriksaan berkala ke atas premis Lynas, selain menjalankan pensampelan alam sekitar sebagai langkah verifikasi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Oktober 2019 @ 3:11 PM