DR Maszlee (baris dua, tengah) bergambar bersama penerima bantuan Program Jom Sekolah 2020 di SMKTeluk Kerang, hari ini. FOTO BERNAMA
DR Maszlee (baris dua, tengah) bergambar bersama penerima bantuan Program Jom Sekolah 2020 di SMKTeluk Kerang, hari ini. FOTO BERNAMA
Ibrahim Isa


KERAJAAN masih mengkaji dan mendapatkan input pelbagai pihak, berhubung keperluan memansuhkan aliran sains dan sastera bagi pelajar tingkatan empat pada 2020.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata, sehingga kini belum ada sebarang keputusan dibuat untuk dijadikan sebagai dasar pendidikan negara.

“Perkara itu masih di peringkat kajian dan usaha mendapatkan input daripada pelbagai pihak masih dijalankan.

“Sejak lima tahun lalu, banyak isu timbul yang mana pelajar aliran sains tidak boleh ke aliran sastera, aliran sastera ke aliran sains dan ia membabitkan ramai pelajar.

“Ia trend masa depan, namun kami perlu membuat kajian terperinci sebelum mengambil sebarang keputusan,” katanya selepas merasmikan Program Jom Sekolah 2020 anjuran Yayasan Harapan Pontian (YHP) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teluk Kerang, Tanjung Piai, Pontian, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi YHP Zulkifly Tasreep.

Khamis lalu, Presiden Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Datuk Dr Raduan Che Rose dilaporkan meminta kerajaan tidak tergesa-gesa memansuhkan aliran sastera dan sains pelajar tingkatan empat.

Beliau dipetik berkata, langkah itu dikhuatiri memberi implikasi terhadap kursus di universiti selain bertentangan dengan langkah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang menggalakkan subjek sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Oktober 2019 @ 5:33 PM