Ruwaida Md Zain


PADAH menyamar sebagai anggota polis, tiga lelaki ditahan sebelum sempat menikmati wang hasil penipuan sumbangan orang ramai di sekitar Kapar, di Klang, Khamis lalu.

Ketika tangkapan 3 petang itu, ketiga-tiga suspek berusia antara 34 dan 48 tahun itu ditahan polis ketika sedang ingin mengambil wang sumbangan daripada mangsa.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, ketiga-tiga suspek didapati menyamar sebagai anggota polis Bukit Aman untuk menipu orang awam di sekitar Kapar dengan meminta sumbangan.

“Berdasarkan siasatan, kita dapati mangsa didatangi suspek yang menyamar sebagai anggota polis dari Bukit Aman dan meminta wang sumbangan sejumlah RM4,000.

“Sumbangan berkenaan diminta kononnya bagi tujuan membiayai kos penerbitan sebuah majalah milik Pusat Penghuni Rumah Kediaman Polis.

“Namun, ketiga-tiga suspek tidak sempat menikmati wang sumbangan itu selepas dicekup ketika ingin mengambil wang berkenaan,” katanya kepada Harian Metro.

Nurulhuda berkata, pada awalnya, suspek meminta sumbangan sebanyak RM5,000, namun mangsa minta ia dikurangkan kepada RM4,000 dan berjanji akan membayar keesokan hari.

“Mangsa yang menyedari dirinya ditipu, segera membuat laporan polis dan kita berjaya menangkap suspek ketika mereka datang untuk mendapatkan wang sumbangan,” katanya.

Turut dirampas, tiga keping kad kuasa Persatuan Penghuni Rumah Kediaman Polis, dua fail, sekeping kad nama dan sebuah buku.

“Kita masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui tujuan suspek menyamar termasuk status, latar belakang sama ada betul-betul bekerja dengan persatuan atau sebaliknya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan,” katanya.

Pada masa sama, Nurulhuda menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada dengan mana-mana individu yang mengedar risalah untuk memohon sumbangan bagi mana-mana pihak.

“Setiap individu atau syarikat boleh berhubung dengan pihak polis untuk merujuk sebarang kes berkaitan aktiviti penyamaran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Oktober 2019 @ 12:46 PM