KEADAAN banjir yang melanda rumah penduduk. FOTO Ihsan APM
KEADAAN banjir yang melanda rumah penduduk. FOTO Ihsan APM
Safuri Kamarudin


SERAMAI 20 keluarga dari lima kampung terjejas akibat banjir kilat di Baling, malam tadi.

Kampung yang terjejas adalah Kampung Lalang, Kampung Siput, Kampung Lela, Kampung Charok Kapas dan Kampung Sadek.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Leftenan (PA) Mohd Faizol Ab Aziz berkata, hujan lebat berterusan sejak 6 petang semalam menyebabkan air mula melanda rumah penduduk sekitar 10 malam.

Beliau berkata, rumah mangsa dinaiki air sedalam 0.5 meter manakala air Sungai Ketil melimpah sehingga satu meter .

“Bagaimanapun, keadaan masih terkawal dan tiada pemindahan dilakukan.

“Semua agensi yang terbabit sudah bersiap siaga sekiranya berlaku banjir besar,” katanya.

Mohd Faizol berkata, hujan lebat menyebabkan air Sungai Ketil melimpah ke kawasan rendah yang dihuni penduduk kampung.

“Saya minta penduduk yang sering terjejas dengan banjir supaya berpindah ke tempat selamat sekiranya keadaan semakin buruk,” katanya.

Seorang penduduk, Radiah Abdul Yahakup, 43, berkata, hujan lebat sejak akhir-akhir ini menyebabkan air sungai dan sistem perparitan tidak mampu menampung arus yang deras.

Beliau berkata, hujan lebat selama dua jam sebelum air masuk ke rumah dan mereka hanya sempat menyelamat barang yang ringan sahaja.

“Air naik dengan cepat sehingga tidak sempat menyelamatkan perabot dan barangan elektrik kerana nyawa lebih penting.

“Saya tidak fikir lagi mengenai barang-barang yang penting ahli keluarga keluar ke tempat selamat supaya tidak berlaku kejadian buruk,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Oktober 2019 @ 12:09 PM