Amshah menggunakan tangan kiri untuk melakukan pelbagai kerja berikutan tangan kanannya lumpuh akibat kemalangan. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Amshah menggunakan tangan kiri untuk melakukan pelbagai kerja berikutan tangan kanannya lumpuh akibat kemalangan. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap


KEMALANGAN jalan raya pada 2014 mengubah kehidupan Amshah Mohd Raus, 39, dari Kampung Sungai Daun, Jelebu yang kini lumpuh tangan kanan.

Malah akibat kemalangan itu, Amshah terpaksa menjalani kehidupan berkerusi roda selama 18 bulan.

Namun kekurangan pada diri tidak mematahkan semangatnya untuk berjaya seperti insan lain dan tanpa menoleh ke belakang, dia nekad membuka perniagaan makanan dan minuman di hadapan rumah pada 2016 sebelum memperluaskannya dengan membuat perkhidmatan penghantaran (runner).

Menceritakan kembali kejadian pada 2014, dia berkata, ketika itu dia bertugas sebagai pengawal keselamatan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Undang Musa Al-Haj dekat Kuala Klawang.

Katanya, kemalangan itu menyebabkannya parah selepas motosikal ditunggangnya dilanggar mat rempit.

“Saya menerima rawatan di wad Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) selama empat bulan selain perlu menggunakan kerusi roda 18 bulan,” katanya.

Tidak mahu berputus asa, Amshah berkata, dia berkongsi modal dengan abangnya, Khairul Mohd Raus, 46, bagi memulakan perniagaan secara kecil-kecilan menjual minuman dan burger di hadapan rumahnya.

Anak ke-9 daripada 12 beradik itu kemudiannya berusaha mempelbagaikan lagi perniagaan itu termasuk memperkenalkan perkhidmatan penghantaran atau ‘runner’ pada 2018.

Katanya, dia dibantu Khairul menunggang motosikal membawanya ke bandar Kuala Klawang.

“Saya mengambil upah untuk menyelesaikan sebarang bayaran bil utiliti penduduk selain membeli barang keperluan harian jika diminta berbuat demikian.

“Saya mengenakan bayaran RM3 seorang bagi setiap perkhidmatan, tidak kisah berapa banyak bil yang dikirim pelanggan atau barangan yang mahu dibeli,” katanya ketika ditemui hari ini.

Amshah berkata, barang keperluan seperti makanan antara yang kerap dikirim pelanggan yang sebelum itu datang ke kedainya membuat pesanan dan menyediakan bayaran berkaitan.

Katanya, bagi perkhidmatan bil utiliti, jika tiada gangguan sistem dan Internet kebiasaan dia menyelesaikan urusan pembayaran secara dalam talian dari kedai miliknya yang terletak di hadapan rumah.

Katanya, dia perlu berusaha mencari rezeki tanpa mengharapkan ehsan pihak lain meskipun mempunyai kekurangan selain berhasrat membantu keluarganya.

“Idea menjalankan perkhidmatan ‘runner’ selepas saya cuba mempromosi kaedah ini di media sosial dan menerima sokongan daripada rakan-rakan.

“Pelanggan pertama saya penduduk taman perumahan yang terletak kira-kira 15 kilometer dari rumah.

“Apabila terbabit dalam bidang pekerjaan berkaitan duit, ia bukan satu perkara mudah apatah lagi membabitkan kepercayaan orang ramai dan saya gembira kerana mereka percaya dengan perkhidmatan yang disediakan,” katanya.

Bagi setiap urusan dalam talian, dia mengenakan caj 50 sen untuk setiap transaksi.

Di kedai itu juga Amshah menyediakan perkhidmatan wifi Internet dengan bayaran RM3 bermula dari kedai beroperasi hingga lewat malam.

Biarpun pendapatan bersih yang diterima hasil perkhidmatan disediakan hanya lingkungan RM400 sebulan dia gembira dengan apa yang dilakukan ketika ini.

Katanya, ketika ini perkhidmatan ‘runner’ disediakan bukan saja mendapat permintaan penduduk sekitar kampung malah Kuala Klawang juga.

“Saya berpegang pada prinsip kejujuran dan keikhlasan dalam melakukan pekerjaan ini supaya mendapat kepercayaan pelanggan,” katanya.

Selain pendapatan daripada perniagaan dijalankan, Amshah turut menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM400 selain pampasan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Oktober 2019 @ 4:55 PM