ANTHONY Loke (tengah) hadir pada majlis Minggu Pelabuhan, Lembaga Pelabuhan Johor. FOTO Mohd Azren Jamaludin
ANTHONY Loke (tengah) hadir pada majlis Minggu Pelabuhan, Lembaga Pelabuhan Johor. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Mohd Sabran Md Sani


KEPUTUSAN berhubung pelaksanaan projek Sistem Transit Aliran (RTS) Johor Bahru-Singapura akan diumumkan hujung bulan ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kerajaan komited dengan perkara itu dan pengumumannya akan dibuat.

“Kita komited tarikh akhir 31 Oktober ini, maka satu pengumuman rasmi (berkaitan pelaksanaan RTS) akan dibuat menjelang tarikh itu.

“Saya berharap pengumuman itu dapat dibuat dan saya akan mencadangkan kepada rakan sejawat di Singapura supaya pengumuman rasmi dibuat di Johor Bahru,” katanya pada sidang media sempena Minggu Pelabuhan, Lembaga Pelabuhan Johor di Johor Bahru, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan menyatakan komitmen terhadap projek itu menerusi pembentangan Belanjawan 2020 di Parlimen, 11 Oktober lalu.

“Setakat ini, apa yang sudah saya nyatakan pertama dalam pembentangan Belanjawan 2020 minggu lalu, Menteri Kewangan (Lim Guan Eng) menyatakan hasrat kerajaan meneruskan RTS.

“Itu satu petanda awal sokongan kerajaan terhadap projek ini,” katanya.

Menurutnya, beliau bagaimanapun tidak boleh memberikan maklumat lanjut berhubung perkara itu.

“Saya tidak boleh memberi maklumat lanjut kerana ia dibawa dan diputuskan Kabinet tidak lama lagi, dalam seminggu dua ini,” katanya.

Menurutnya, selepas diputuskan Kabinet, barulah pertemuan akan diadakan dengan rakan sejawat di Singapura (Menteri Pengangkutan Singapura, Khaw Boon Wan).

“Ia bukan keputusan sehala tetapi mesti dibuat dua hala antara Malaysia dan Singapura,” katanya.

Malaysia dan Singapura sudah mencapai ‘persefahaman’ berhubung pelaksanaan projek RTS Johor-Singapura sepanjang empat kilometer itu.

Malaysia sebelum ini terpaksa membayar RM2 juta kepada Singapura sebagai kos penangguhan projek RTS yang juga jumlah sudah dibelanjakan republik itu bagi pelaksanaannya di republik itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Oktober 2019 @ 1:09 PM