Mohd Hafizee Mohd Arop


BURUH binaan warga Indonesia dipenjara 10 bulan oleh Mahkamah Majistret Ipoh, hari ini, selepas mengaku bersalah atas tuduhan menggunakan kad pengenalan palsu, Rabu lalu.

Tertuduh, Husen Osman, 53, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret, Umzarul An-Nur Umar.

Husen didakwa menggunakan kad pengenalan bertaraf penduduk tetap palsu bernombor 641209-71-6023 atas nama Ady Wiyono Sutowiyono sebagai pengenalan diri.

Kesalahan itu didakwa dilakukannya di premis rumah kedai beralamat No 70A, Jalan Temenggong, Fuji Park, Ipoh, 1.08 pagi, Rabu lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Peraturan 25(1)(c) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Ahmad Firdaus Che Md Rose manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, tertuduh ditahan dalam serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pada Rabu lalu dan dia dipercayai memberikan kad pengenalan berkenaan sebagai bukti pengenalan diri.

Semakan dijalankan dengan JPN kemudiannya mendapati kad pengenalan atas nama berkenaan tidak wujud dan tertuduh mengaku membeli kad pengenalan berkenaan dengan harga RM300.

Ahmad Firdaus kemudiannya memohon mahkamah supaya mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh dan memohon tertuduh dihantar pulang ke negara asalnya selepas tamat tempoh hukuman.

Umzarul An-Nur kemudiannya memerintahkan tertuduh dipenjara selama 10 bulan dan dihantar pulang ke negara asalnya selepas tamat menjalani hukuman itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Oktober 2019 @ 11:25 AM
BURUH binaan warga Indonesia, Husen Osman, 53, dipenjara 10 bulan oleh Mahkamah Majistret Ipoh selepas mengaku bersalah atas tuduhan menggunakan kad pengenalan palsu, Rabu lalu. FOTO Muhaizan Yahya
BURUH binaan warga Indonesia, Husen Osman, 53, dipenjara 10 bulan oleh Mahkamah Majistret Ipoh selepas mengaku bersalah atas tuduhan menggunakan kad pengenalan palsu, Rabu lalu. FOTO Muhaizan Yahya