Hairulazim Mahmud


PUTRAJAYA: “Geran pemilikan kenderaan yang ditunjukkan kumpulan yang mendakwa pemandu e-hailing semalam adalah geran lama, sebab itu ada kod AH (e-hailing persendirian),” kata Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (Perancangan dan Operasi), Zamakhshari Hanipah.

Beliau berkata, kod itu tiada lagi jika geran itu dicetak selepas arahan menteri berkaitan paparan kod AH, kelmarin.

Katanya, pemandu e-hailing diharap tidak keliru dengan dokumen hak milik kenderaan ditunjukkan pihak terbabit.

“Kita sudah mengubah sistem supaya kod itu tidak terpapar selepas menteri mengeluarkan arahan kelmarin,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Kelmarin, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menegaskan penguatkuasaan peraturan e-hailing akan dikuatkuasakan hari ini tanpa penangguhan lagi.

Pemandu e-hailing sebelum ini membantah peraturan baharu penukaran kod kenderaan ke AH dan mencetak Permit Kenderaan E-hailing (eVP) sedangkan ia tidak perlu dilakukan oleh pemandu atau pemilik kenderaan terbabit.

Kod AH antaranya adalah untuk JPJ mengenal pasti kenderaan persendirian individu dan e-hailing.

Selain itu, ia untuk memastikan ia menjalani pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

Terdahulu, Zamakhshari berkata, JPJ akan menggunakan Borang Pemeriksaan Kesihatan Lesen Vokasional (JPJL8A) yang baharu bagi tujuan permohonan lesen.

Katanya, penetapan penggunaan borang baharu itu adalah hasil perbincangan di antara pihak JPJ bersama wakil Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) pada 18 Ogos lalu.

“Bagi pemegang lesen sedia ada, hanya perlu menggunakan borang lama,” katanya.

Katanya, pemeriksaan kesihatan bagi pengesahan kelayakan memohon Lesen Vokasional adalah selari dengan peruntukan Kaedah 4 (b)(i) Kaedah Kenderaan Perkhidmatan Awam (Pelesenan dan Kelakuan Pemandu, Konduktor dan Penumpang) 1959 dan Kaedah 5 (b), Kaedah-Kaedah Kenderaan Barang (Pelesenan Pemandu) 1965.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Oktober 2019 @ 6:00 AM