Mesej yang tular di media sosial dan contoh VOC.
Mesej yang tular di media sosial dan contoh VOC.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) menafikan ada mengenakan caj sebanyak RM50 kepada pemilik kenderaan bagi penukaran Geran Kenderaan (RC) kepada Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC).

JPJ dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur hari ini berkata, pihaknya kini dalam proses melaksanakan fasa ketiga bagi penggantian RC kepada VOC secara sukarela.

“Semua pemilik kenderaan boleh membuat gantian RC kepada VOC secara percuma sebaik saja pelaksanaan fasa Ketiga ini diumumkan kelak.

“Bagaimanapun, caj RM50 hanya dikenakan bagi salinan VOC yang dibuat oleh pemilik atas faktor kehilangan, pindaan butiran kenderaan atau lain-lain mengikut tatacara sedia ada,” katanya.

Baru-baru ini, tular di media sosial dan WhatsApp bahawa JPJ mengenakan caj bagi penukaran RC kepada VOC.

Mesej yang ditularkan itu turut mendakwa pengguna perlu menukar geran kenderaan kepada sijil bermula 1 Januari 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Oktober 2019 @ 7:24 PM