Mohd Firdaus Ibrahim


BAGI mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih baik untuk belia dan wanita selain mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing berkemahiran rendah, kerajaan melancarkan inisiatif #MalaysiaKerja.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, empat program disasarkan kepada pekerja dan majikan dengan menyediakan pelbagai insentif.

“Pertama, program GraduanKerja direka khusus untuk pengambilan graduan yang menganggur melebihi 12 bulan.

“Graduan yang menerima tawaran kerja akan diberi insentif gaji sebanyak RM500 sebulan selama dua tahun sebagai tambahan kepada gaji. Majikan pula menerima insentif pengambilan pekerja sebanyak RM300 sebulan bagi tempoh sama.

“Kedua, wanita yang telah berhenti kerja selama setahun atau lebih namun kembali bekerja akan diberi insentif gaji sebanyak RM500 sebulan selama dua tahun di bawah program WanitaKerja.

“Majikan pula diberi insentif pengambilan pekerja sebanyak RM300 sebulan bagi tempoh yang sama,” katanya sambil memberitahu pengecualian cukai pendapatan bagi wanita juga dilanjutkan selama empat tahun iaitu sehingga 2023.

Menurutnya, bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing berkemahiran rendah, WatanKerja iaitu program kesamarataan kos pengambilan pekerja turut dilaksanakan.

“Warganegara yang menggantikan pekerja asing akan diberikan insentif gaji selama dua tahun sebanyak RM350 atau RM500 sebulan mengikut sektor. Majikan pula menerima insentif pengambilan sebanyak RM250 sebulan bagi tempoh sama.

“Keempat, PerantisKerja adalah insentif Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam bentuk elaun tambahan sebanyak RM100 sebulan untuk pelajar yang mengikuti kursus TVET.

“Kerajaan juga melanjutkan potongan cukai dua kali ke atas perbelanjaan syarikat yang menyertai Skim Latihan Dual Nasional (SLDN) bagi tempoh dua tahun lagi.

“Selain itu, potongan cukai dua kali turut diberikan kepada syarikat yang melaksanakan Program Internship Berstruktur (SIP) yang diluluskan oleh TalentCorp bagi pelajar yang mengikuti bidang kejuruteraan dan teknologi,” katanya.

Guan Eng berkata, kerajaan menjangkakan #MalaysiaKerja mampu mewujudkan 350,000 peluang pekerjaan bagi rakyat Malaysia dalam tempoh lima tahun selain mengurangkan kebergantungan kepada 130,000 pekerja asing.

Selain meningkatkan peluang pekerjaan, beliau berkata, kerajaan juga akan meneliti semula Akta Kerja 1955 bagi memodenkan pasaran buruh dengan menambah baik syarat pekerjaan.

“Meningkatkan tempoh cuti bersalin daripada 60 hari kepada 90 hari berkuat kuasa mulai tahun 2021, memanjangkan kelayakan bayaran lebih masa bagi golongan yang berpendapatan kurang daripada RM2,000 kepada RM4,000 sebulan, menambah baik pengendalian aduan gangguan seksual dari segi perlindungan dan prosedur dan memantapkan peruntukan berkaitan larangan diskriminasi dalam pekerjaan contohnya agama, kaum atau jantina,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Belanjawan 2020
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Oktober 2019 @ 7:05 PM