Mazizul Dani


KELUARGA angkat seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun buntu selepas usaha mencari ibu kandungnya sejak lima tahun lalu tidak membuahkan hasil.

Bapa angkat, Mohd Shari Md Yusof, 56, berkata, Nur Hafidah, 12, diserahkan kepada keluarganya oleh ibu kandung, Amellia Abu Bakar, 44, dua minggu selepas kanak-kanak itu dilahirkan.

"Nur Hafidah baru selesai menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini dan perlu mendaftar untuk ke sekolah menengah.

“Jadi, urusan penyerahan anak angkat secara sah menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) perlu diselesaikan secepat mungkin demi masa depannya.

"Kami sudah berusaha mencari Amellia (ibu kandung) termasuk di alamat terakhir iaitu No 7 Jalan 5S Jinjang Utara A, Kuala Lumpur, tetapi gagal menemuinya kerana difahamkan dia sekeluarga sudah berpindah," katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Mohd Shari berkata, dia dan keluarga berharap agar ibu kandung Nur Hafidah dapat ditemui supaya anak angkatnya itu boleh membuat kad pengenalan untuk urusan persekolahan selain keluarganya mendapat hak penjagaan anak angkat yang sah.

Keluarga kandung Nur Hafidah dan sesiapa yang mengetahui keberadaan ibunya, Amellia Abu Bakar boleh menghubungi Mohd Shari di talian 0182979089 atau 0173255905.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Oktober 2019 @ 8:18 PM