PEGAWAI Farmasi Bahagian Regulatori Farmasi Negara KKM Hanum Maisarah Abdul Rahman menunjukkan produk mengandungi steroid yang dipamerkan ketika Program Santuni Rakyat: Kenali Ubat Anda sempena sambutan Hari Farmasi Sedunia Peringkat Kebangsaan 2019. FOTO Sairien Nafis
PEGAWAI Farmasi Bahagian Regulatori Farmasi Negara KKM Hanum Maisarah Abdul Rahman menunjukkan produk mengandungi steroid yang dipamerkan ketika Program Santuni Rakyat: Kenali Ubat Anda sempena sambutan Hari Farmasi Sedunia Peringkat Kebangsaan 2019. FOTO Sairien Nafis
Amirul Aiman Hamsuddin


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) merampas produk tidak berdaftar bernilai RM31 juta mulai Januari sehingga bulan lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, rampasan termasuk produk tidak berdaftar yang mengandungi racun berjadual, produk tradisional dan produk kosmetik.

“Ubat tidak berdaftar ini diniagakan secara penjualan terus atau dalam talian dan perkara ini menjadi fenomena yang amat membimbangkan,” katanya pada Majlis Perasmian Program Santuni Rakyat: Kenali Ubat Anda di Dewan Datuk Penggawa Permatang, Kuala Selangor, hari ini.

Beliau berkata, trend penjualan ubatan pada masa kini beralih kepada perniagaan dalam talian.

“Trend (perniagaan dalam talian) sebenarnya memudahkan akses ubat kepada pengguna. Dulu, pengguna perlu ke farmasi atau kedai ubat tetapi hari ini mereka hanya perlu ‘klik’ di rumah tanpa mengira waktu dan tempat,” katanya.

Dr Hisham berkata, trend itu bagaimanapun mendedahkan pengguna kepada risiko mendapat ubat tidak berdaftar, ubat tiruan dan ubat dicampuri racun berjadual.

Dalam pada itu, Dr Hisham berkata, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi menubuhkan satu Seksyen Risikan dan Forensik Siber 2014 bagi mengawal penjualan produk farmaseutikal dan kosmetik dalam talian.

“Seksyen ini bertanggungjawab menyelaras dan memberi bantuan dalam aspek sokongan teknikal bagi kes membabitkan Internet dan aplikasi dalam talian termasuk mengumpul maklumat digital bagi tindakan penguatkuasaan,” katanya.

Menurutnya, aktiviti menggiatkan kesedaran pengguna turut dilaksanakan melalui Kempen Kesedaran Waspada Pembelian Ubat Online.

“Kempen yang dijalankan sepanjang Oktober ini bertujuan memberi pendidikan kepada orang awam mengenai risiko pembelian ubat secara dalam talian.

“Selain itu, kempen ini turut menekankan orang awam agar membuat semakan terlebih dulu maklumat yang terkandung dalam iklan ubat di Internet dan memastikan produk yang diiklankan berdaftar dengan kementerian serta iklannya diluluskan Lembaga Iklan Ubat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Oktober 2019 @ 7:05 PM