Raja Noraina Raja Rahim


LELAKI mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban, Seremban, hari ini, atas pertuduhan menipu pesara jurutera kapal terbang, bulan lalu.

Tertuduh Muhamad Hasim Zulfahmi, 32, membuat pengakuan itu sebaik kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Diana Md Razali.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa bersama seorang lagi yang masih bebas memperdaya lelaki warga emas berusia 64 tahun supaya menyerahkan wang RM100,000 yang dimasukkan ke akaun milik tertuduh berkenaan aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM1.48 juta yang sebenarnya tidak wujud.

Wang itu dimasukkan ke Bank RHB Cawangan Bandar Baru Nilai, pada 1.30 tengah hari, 24 September lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noranis Mat, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 4 November depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Oktober 2019 @ 12:37 PM
MUHAMAD Hasim ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen, Seremban. FOTO Adzlan Sidek
MUHAMAD Hasim ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen, Seremban. FOTO Adzlan Sidek